SALLEH menunjukkan kesan bumbung bocor di PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Kijang  Tanah Merah. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
SALLEH menunjukkan kesan bumbung bocor di PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Kijang Tanah Merah. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Mohamed Sahidi Yusof


MANGSA banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Kijang, Tanah Merah, mendakwa terpaksa berteduh dalam keadaan tidak selesa.

Ini berikutan bumbung bangunan dewan berkenaan yang bocor di beberapa tempat.

Mereka mendakwa kemudahan tandas dan bilik air juga tidak sempurna berikutan tiada bekalan air bersih.

Salleh Jusoh, 60, berkata, dewan itu diwartakan sebagai PPS setiap tahun sekiranya berlaku banjir namun kemudahannya tidak diselenggara.

Katanya, mereka tiada pilihan dan terpaksa menumpang di dewan itu sejak Ahad lalu.

“Lantai selalu saja basah dan kanak-kanak kerap terjatuh. Kami juga kesejukan kesan daripada persekitaran yang tak sempurna.

“Mangsa pula ramai. Tempat ini sempit dan tambah sesak apabila bumbung bocor (orang bersesak ke tempat tidak bocor). Ini yang timbulkan kesulitan,” katanya ketika ditemui di pusat itu, hari ini.

Tujuh puluh tiga mangsa banjir ditempatkan di pusat itu berikutan banjir sejak Ahad lalu.

Norida Mustapha, 36, pula berkata, dia tidak mempunyai masalah bagi keperluan lain seperti bekalan makanan, selimut dan kelambu.

“Yang saya kurang suka adalah tandas dan bilik mandinya tidak sempurna. Airnya kurang bersih. Bumbung pula bocor.

“Jika dewan serbaguna itu sudah dijadikan PPS setiap tahun kenapa tidak diselenggarakan dengan baik?,” tanyanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 1:00 PM