KECEDERAAN di dahi warga emas (kiri) yang dipukul dengan kerusi plastik oleh anak lelakinya. FOTO Ahmad Ismail
KECEDERAAN di dahi warga emas (kiri) yang dipukul dengan kerusi plastik oleh anak lelakinya. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


WARGA emas menerima empat jahitan di dahi akibat dipukul dengan kerusi plastik oleh anak lelakinya yang berang selepas dinasihatkan berhenti menagih dadah di taman perumahan di Labis, Segamat, semalam.

Malah, selepas mencederakan ibunya yang berusia 74 tahun itu, suspek berusia 35 tahun turut bertindak agresif menyerang ahli keluarganya yang menghalang tindakannya dalam kejadian 6.45 petang itu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, terdahulu berlaku pertelingkahan di kediaman keluarga berkenaan antara suspek dengan ibunya yang kecewa kerana terbabit dengan penagihan dadah.

Katanya, selain menjadi hamba dadah, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu didakwa sering mengambil barangan di dalam rumah dan menjualnya bagi mendapatkan wang untuk melepas gian.

"Tidak tahan lagi dengan perangai suspek, wanita berkenaan menasihati anaknya supaya berubah dan tidak menimbulkan masalah lagi dalam keluarga tetapi malangnya nasihat seorang ibu menyebabkan lelaki itu naik berang.

"Suspek dikatakan mencapai kerusi plastik di ruang tamu lalu menghayunkannya ke muka ibunya menyebabkan warga emas itu cedera di dahi dengan luka sepanjang 7.6 sentimeter," katanya kepada Harian Metro.

Raub berkata, beberapa ahli keluarga terdekat cuba mententeramkan suspek tetapi gagal kerana suspek turut menyerang mereka menyebabkan Balai Polis Labis terpaksa dihubungi untuk bantuan.

Katanya, lima anggota polis tiba kira-kira lima minit kemudiannya namun berlaku pergelutan menyebabkan seorang anggota cedera di pipi akibat dicakar suspek.

"Selepas beberapa minit bergelut, suspek akhirnya diberkas manakala mangsa dibawa ke klinik berdekatan untuk rawatan," katanya.

Menurut Raub, ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek yang juga anak ke-10 daripada 12 beradik itu mendapati dia positif mengambil dadah methamphetamine selain memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 353 kanun sama kerana menghalang tugasan penjawat awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 6:30 PM