SU Ung (dua dari kanan) menceritakan masalah yang dialami kepada Jason (dua dari kiri), kelmarin. FOTO Omar Ahmad
SU Ung (dua dari kanan) menceritakan masalah yang dialami kepada Jason (dua dari kiri), kelmarin. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Johor Bahru: Akibat tindakan anak lelaki tunggal berhutang dengan ceti haram atau along, sebuah keluarga di Kangkar Pulai, di sini, hidup dalam ketakutan kerana sering diganggu sehingga terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

Ting Su Ung, 45, berkata, dia tidak mengetahui anaknya, Chan Ping, 19, berhutang dengan along kerana ketagih berjudi dan hanya mengetahui perkara itu selepas anak perempuannya memberitahu Chan Ping meminta mereka sekeluarga meninggalkan rumah dengan segera pada 24 Oktober lalu.

“Chan Ping sudah keluar dari rumah sejak 16 Oktober lalu tanpa beritahu apa-apa. Tetapi, selepas seminggu, dia menghubungi kakaknya dan beritahu meminjam wang daripada along, tetapi gagal membayar balik.

“Selepas diminta keluar rumah, saya bersama suami serta dua anak perempuan terpaksa tinggal di hotel selama seminggu kerana diburu konco along,” katanya ketika mengadu masalah terbabit kepada Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Persekutuan Jason Teoh Sew Hock di Kelab Media Cina, kelmarin.

Menurut Ting, kehidupannya bertambah kucar-kacir apabila gambar mereka sekeluarga disebarkan dalam media sosial oleh along sebagai penipu yang tidak membayar hutang serta menawarkan ganjaran kepada orang ramai yang memberikan maklumat.

Katanya, jirannya juga memaklumkan ada beberapa lelaki datang ke rumahnya dan menendang pintu serta pagar selepas mendapati tiada sesiapa di rumah.

“Saya juga tidak dapat menghubungi Chan Ping, tetapi mengetahui kini dia berada di luar negara.

“Saya kesal kerana tidak pernah berhutang dengan mana-mana pihak termasuk along. Tindakan mereka itu menyebabkan saya malu dan risau orang ramai tidak mempercayai saya lagi,” katanya yang juga guru dan ejen pelaburan.

Katanya, berikutan itu, dia membuat dua laporan polis dan kini sudah tidak mahu ada apa-apa ikatan dengan anak lelaki tunggalnya.

Menurutnya, perbuatan Chan Ping turut menyebabkan suaminya yang bekerja di Singapura tidak boleh pulang setiap hari.

“Anak perempuan bongsu saya berumur 10 tahun juga sudah lebih dua minggu tidak ke sekolah kerana takut diganggu along.

“Saya tidak pasti berapa jumlah wang yang dipinjam, tetapi menurut rakan Chan Ping, pinjaman yang dibuat mencecah RM100,000 dan jika benar, sudah pasti saya tidak mampu membayarnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 6:48 AM