IHSAN pembaca Harian Metro
IHSAN pembaca Harian Metro
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


DIBUNGKUS dengan kain batik dan ditinggalkan dalam keadaan kesejukan di pondok bas seawal kira-kira 3 pagi.

Itu tindakan tidak berhati perut dikesan masih dilakukan segelintir masyarakat apabila tergamak membuang bayi lelaki yang masih bertali pusat.

Bayi itu ditemui orang ramai, kira-kira 7 pagi, dan kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Bentong, Deputi Superitendan Zainudin Abdul Hamid, berkata ketika kejadian bayi terbabit ditemui selamat dengan dibalut kain batik di pondok bas di Lebu, Bentong.

“Orang ramai kemudian menghubungi polis sebelum menghantar bayi itu ke Klinik Kesihatan Mempaga untuk pemeriksaan lanjut.

“Bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk pemantauan lanjut,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Zainudin berkata, pihaknya kini sedang mengesan ibu bayi berkenaan untuk membantu siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan di balai polis berhampiran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 3:12 PM