Keratan laporan semalam berhubung Datuk Seri yang ditahan reman empat hari.
Keratan laporan semalam berhubung Datuk Seri yang ditahan reman empat hari.
Mohd Hasbi Sidek


LELAKI bergelar Datuk Seri yang didakwa memukul tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) didapati positif dadah ketika ujian saringan awal air kencing.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis turut mendapati suspek memiliki satu rekod lampau berkaitan pengambilan dadah.

“Polis sudah menyemak rekod lalu dan suspek didapati mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah dan ujian air kencing dijalankan juga mendapati positif dadah.

“Tindakan lanjut juga akan diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya,” katanya pada sidang media selepas majlis sambutan Deepavali di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas dakwaan gambar yang tersebar kononnya lelaki berkenaan memiliki senjata api, beliau berkata, sehingga kini, polis belum menerima laporan, namun jika suspek didapati memiliki senjata api, tindakan sewajarnya akan diambil.

Menurutnya, jika seseorang itu memiliki lesen sah memiliki senjata api untuk menjaga keselamatan diri tetapi dengan berbuat demikian boleh membahayakan keselamatan orang lain, atas budi bicara Ketua Polis Negara, lesen itu boleh ditarik balik dan tindakan sewajarnya diambil.

“Polis turut menjalankan siasatan dan menyemak berhubung gelaran Datuk Seri diperoleh suspek,” katanya.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahkan Datuk Seri terbabit direman empat hari hingga Jumaat bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Jumaat lalu, tiga anggota RELA yang bertugas menjaga kawalan keselamatan satu upacara keagamaan di sebuah tokong di Ampang dibelasah individu bergelar Datuk Seri selepas meminta lelaki berkenaan mengalihkan kenderaannya yang menghalang lalu lintas.

Berita berkaitan

Datuk Seri direman empat hari [METROTV]

Nak sogok RELA pula

Tahniah kerana kekal profesional

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 4:24 PM