FOTO ihsan Instagram Khai Bahar
FOTO ihsan Instagram Khai Bahar
Sudirman Mohd Tahir


PENAMPILAN sulung penyanyi, Khai Bahar pada Anugerah Planet Muzik 2017 (APM) di Singapura, semalam, membuahkan hasil apabila Khai membolot dua kategori.

Khai dinobatkan Artis Paling Popular APM dan Lagu Paling Popular APM menerusi lagu Bayang.

"Alhamdulillah atas kemenangan tidak dijangka ini. Apatah lagi ini pembabitan pertama saya dalam APM. Melihatkan persaingan daripada tiga negara, saya tidak meletakkan harapan tinggi.

"Namun, saya percaya peminat tidak pernah berhenti memberi sokongan. Apa saya boleh katakan, mereka sangat hebat. Kemenangan ini adalah kejayaan mereka. Tanpa mereka, siapalah saya," katanya kepada Harian Metro.

Menerusi kategori Lagu Paling Popular APM, Khai menewaskan beberapa lagu popular antaranya Anganku Anganmu (Isyana Sarasvati dan Raisa), Asal Kau Bahagia (Armada), Lelaki Teragung (Dayang Nurfaizah), Nakal Nakal Nakal (Ayda Jebat) dan Ku Rela Dibenci (Aiman Tino).

Bagi kategori Artis Paling Popular APM pula, Khai menyingkirkan persaingan daripada Anji, Dayang Nurfaizah, Harris Baba, Aisyah Aziz, Raisa, Taufik Batisah, Ayda Jebat, Aiman Tino, Isyana Sarasvati, Sufie dan Virgoun.

Khai yang kini berada di Hong Kong bagi menjayakan konsert anjuran kelab peminatnya memohon maaf kerana tidak dapat menghadirkan diri pada acara berprestij itu.

"Sebenarnya saya cuba untuk hadir, namun masa tidak mengizinkan. Tambahan pula, persembahan di Hong Kong sudah dirancang lama. Jadi, saya tidak mahu menghampakan mereka.

"Apa saya boleh katakan, persaingan tahun ini semuanya hebat. Jika tidak menang sekali pun, saya tetap bersyukur kerana tercalon. Apa pun, saya menganggap ini rezeki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 12:49 PM