Zurina (kanan) dakwa proses pembayaran semula deposit kepada pelanggan boleh selesai dalam tempoh enam bulan jika urusannya berjalan lancar.
Zurina (kanan) dakwa proses pembayaran semula deposit kepada pelanggan boleh selesai dalam tempoh enam bulan jika urusannya berjalan lancar.
Asrizal Aris


"SAYA tak lari, malah setiap hari saya usaha untuk pulangkan semula wang bayaran pakej perkahwinan pelanggan yang tidak mahu meneruskan perkhidmatan kami sebelum ini."

Itu kata pengasas Zurin Jundi Wedding Planner, Zurina Ahmad Jundi, 35, berhubung isu desakan pelanggannya yang mahu tuntutan deposit wang dengan segera dan menuduhnya menghilangkan diri.

Zurina berkata, dia kini sibuk dalam proses menjual empat bangunan cawangan butiknya serta set barangan pelamin namun masih berunding harga yang sesuai untuk dijual kepada pembeli.

Katanya, dia juga sedang berusaha mendapatkan wang dengan menjual rumah serta aset peribadi dan mengumpul sumbangan daripada ahli keluarganya untuk melangsaikan bayaran kepada pelanggan.

"Saya tak menghilangkan diri, saya sedang usaha bayar balik. Cuma minta pelanggan sabar sahaja, giliran mereka akan tiba.

"Bagi pelanggan yang mahu berjumpa dengan saya, bukan saya tidak mahu berhubung dengan mereka tetapi cukuplah dengan kejadian mereka 'perangkap' saya untuk menyerang dan mengugut saya supaya membayar wang segera.

"Seperti yang dimaklumkan, kami akan membayar secara berkala dan berperingkat. Kami terpaksa lakukan itu kerana pelanggan yang membuat tuntutan bukanlah sedikit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pelanggan yang menuntut bayaran deposit terhadap syarikatnya antara 100 hingga 300 tempahan merangkumi empat negeri di setiap cawangan butiknya yang dianggarkan jumlah tuntutan keseluruhan sebanyak RM700,000 hingga RM800,000.

Kata Zurina, sekiranya urusannya berjalan lancar, proses pembayaran semula deposit kepada pelanggan boleh selesai dalam tempoh enam bulan.

"Berdasarkan apa yang saya bincangkan dengan peguam saya, dalam masa enam bulan, 80 hingga 100 peratus pelanggan yang buat tuntutan akan terima wang mereka.

"Saya serahkan urusan bayaran balik ini kepada peguam saya, dan untuk pengetahuan ramai beberapa pelanggan sudah menerima wang tuntutan mereka cuma kami tidak boleh war-warkan siapa orangnya atas keselamatan mereka.

"Ada pelanggan yang dikecam serta dipersoalkan selepas terima bayaran, jadi beberapa pelanggan minta supaya rahsiakan nama apabila sudah menerima bayaran atas tujuan keselamatan," katanya.

Menurut Zurina, dia kini berada dalam keadaan tertekan dan tidak mahu berjumpa dengan mana-mana pihak sehingga isu berkenaan reda.

"Saya mengaku pihak saya ada buat kesilapan tetapi tiada niat nak menipu atau menganiaya kerana jika benar saya nak menipu untuk kaut keuntungan, sejak awal kewujudan Zurin Jundi lagi kami boleh tipu berjuta ringgit.

"Sepuluh tahun kami naikkan nama butik ini dan mendapat kepercayaan ramai termasuk golongan artis, tetapi disebabkan kecuaian yang berlaku, nama butik ini jatuh teruk," katanya.

Sementara itu, Julia Ahmad, 31, kakak kepada seorang bakal pengantin yang mendakwa tertipu dengan perancang perkahwinan Zurin Jundi meluahkan rasa lega apabila Zurina tampil memberi kenyataan kepada media.

“Kami (mangsa) di Perak ada membuat kumpulan WhatsApp dan Zurina turut serta dalam kumpulan itu tetapi dia (Zurina) senyap. Dulu pernah ada cakap nak bayar, tetapi tiada apa-apa perkembangan selepas itu.

“Apabila dapat tahu Zurina dalam proses menjual butik dan aset, kami harap kami dapat balik duit kami dalam masa terdekat ini sebab semua mangsa memerlukan duit segera memandangkan majlis perkahwinan sudah dekat. 

“Memang ini yang kami tunggu. Kami tahu dia tak boleh lari mana-mana, tetapi sekurang-kurangnya maklumkan perkembangan,” katanya yang menuntut deposit bayaran RM16,400 daripada Zurin Jundi.

Bakal pengantin, Bella Murad, 25, berkata, dia berasa sedikit lega dan berharap kenyataan Zurina itu bukan janji yang tinggal janji.

“Sebelum ini Zurin ada berjanji nak bayar pada tarikh tertentu, tetapi apabila tiba tarikh itu dia cakap tiada duit dan senyap. Itu yang membuat orang ramai marah dan tak percaya pada dia.

“Saya yakin mangsa-mangsa lain akan sedikit lega selepas tahu Zurin dalam proses akhir menjual aset dan butiknya untuk bayar balik duit deposit kami.

“Tambahan pula, kami mendapat tahu beberapa mangsa sudah menerima wang tuntutan mereka. Boleh rasa sedikit lega,” katanya yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 3 Disember ini di Shah Alam.

Menurutnya yang menuntut RM10,400 daripada Zurin Jundi, dia dan mangsa lain berharap bayaran balik deposit boleh dilakukan dalam tempoh terdekat serta mengutamakan mangsa yang terdesak memerlukan duit.

Pada 30 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan lebih 100 pengantin dan bakal pengantin mendakwa terpedaya dengan tawaran syarikat dengan anggaran kerugian keseluruhan mencecah RM500,000.

Berpuluh mangsa yang didakwa ditipu menyerbu syarikat Zurin Jundi sehingga tular di media sosial berikutan kegagalan syarikat perancang perkahwinan itu menyediakan sajian makanan, pelamin dan gambar perkahwinan.

Kebanyakan bakal pengantin yang menjadi mangsa mendesak syarikat perancang perkahwinan itu memulangkan semula duit yang dibayar antara RM2,000 dan RM10,000.

Pada 5 September, peguam Zurin Jundi tampil memohon maaf dan akan membuat pembayaran secara berkala kepada pelanggan yang mendapat perkhidmatan kurang memuaskan.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan empat pelanggan Zurin Jundi di Perak mendesak syarikat itu mengotakan janji memulangkan wang pembayaran selepas mendakwa ia masih gagal berbuat demikian sehingga kini.

Berita berkaitan:

Masih tunggu pulangan wang

Kekecohan penipuan di Kompleks Kotaraya, kes sewa beli kereta AGR Auto Trade Sdn Bhd dan yang terbaru, isu perumahan DBI Properties dan Juta Kelulut Global Resources tiba-tiba menjadikan dirinya begitu popular dan menjadi bualan banyak pihak.

Ceramahnya juga tular di laman sosial termasuk kisah dia dikepong along dan diacu pistol. Yusuf Azmi atau terkenal dengan panggilan Abang Serban berkongsi pengalaman dan beberapa perkara termasuk soal ugutan diterima.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 9:16 PM