VINGADA iktiraf aksi cemerlang Thanabalan (gambar kecil) dan tidak menolak kemungkinan menyenaraikan pemain itu pada masa akan datang.  FOTO Rasul Azli Samad & Luqman Hakim Zubir
VINGADA iktiraf aksi cemerlang Thanabalan (gambar kecil) dan tidak menolak kemungkinan menyenaraikan pemain itu pada masa akan datang. FOTO Rasul Azli Samad & Luqman Hakim Zubir
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: “Thana (N Thanabalan) pemain yang bagus, tapi bukan untuk perlawanan ini (menentang Hong Kong),” kata pengendali kebangsaan Nelo Vingada yang mengakui penyerang skuad bawah 22 tahun negara (B-22) itu mempunyai masa depan cerah untuk menjadi peledak utama Harimau Malaya.

Vingada, 64, yang turut dikenali dengan gelaran ‘The Professor’ itu menegaskan naluri pemusnah serta ketepatan Thanabalan meletakkan dirinya dalam kawasan kotak penalti cukup istimewa.

Dia yang berpengalaman luas dengan pernah melatih berpuluh pasukan dan beratus pemain di Asia, Afrika dan Eropah menganggap kelebihan tonggak kelahiran Negeri Sembilan itu jarang dimiliki pemain lain.

“Tak semua pemain ada kelebihan dan bakat sepertinya. Saya akui dia amat cemerlang ketika bersama skuad B-22 di Sukan SEA (KL2017) tempoh hari. Bagaimanapun, saya rasa masih terlalu awal untuk menyenaraikannya dalam skuad utama.

“Malah, saya masih mempunyai penyerang seperti Hazwan Bakri, Darren Lok dan Shahrel Fikri yang mampu mengalas tugas di bahagian depan untuk perlawanan bertemu Hong Kong nanti.

“Mungkin khidmatnya saya akan gunakan untuk aksi lain kerana kita akan menentang dua lagi pasukan Kumpulan B iaitu Lubnan dan Korea Utara,” katanya kepada Arena Metro.

Fenomena Thanabalan bermula ketika dia membantu skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee layak ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China, Januari depan.

Penyerang FELCRA FC itu terus mempamerkan aksi konsisten apabila muncul penjaring terbanyak skuad muda negara di temasya Sukan SEA dengan mencipta empat gol selain menghadiahkan perak dalam saingan dwitahunan itu.

Begitupun, aksi memukaunya masih gagal menambat hati Vingada apabila namanya tercicir daripada 24 pemain yang dipanggil untuk berdepan Hong Kong di halaman lawan pada 10 Oktober ini.

Sebaliknya, pengendali dari Portugal itu lebih memerlukan enam pemain lain daripada skuad B-22 iaitu penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah), Safawi Rasid (Johor DT), Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Adam Nor Azlin (Selangor) dan Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang).

“Kita ada kelompok pemain muda yang baik dan saya percaya enam pemain itu boleh bersaing di peringkat tertinggi. Malah, kombinasi antara pemain senior dan muda akan menambah variasi dalam persembahan pasukan,” katanya.

Skuad negara akan memulakan kem latihan pusat di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya (Rabu ini) sebelum terbang ke Hong Kong tiga hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 3:40 AM