BILIK Tahanan Unit Sungai Wangi. FOTO Abdullah Yusof
BILIK Tahanan Unit Sungai Wangi. FOTO Abdullah Yusof
Wan Asrudi Wan Hasan dan Farah Suhaidah Othman


DUA lagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilaporkan cedera di Bilik Tahanan Unit Sungai Wang, Sitiawan.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, mangsa yang cedera kini sedang menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.

“Laporan polis dibuat hari ini dan polis sedang menjalankan siasatan sama ada insiden ini berlaku ketika di dalam bilik tahanan, ketika dikurung atau di luar.

“Kita juga akan menyiasat sekiranya ada lagi anggota TLDM terlibat dengan insiden seperti ini,” katanya

Beliau berkata, dua lagi anggota TLDM turut ditahan semalam dan direman bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Katanya, setakat ini jumlah tangkapan membabitkan kes berkenaan adalah lima orang.

"Kita dalam proses merakam percakapan mereka kerana terdapat kecederaan hampir sama pada mangsa yang kini berada di hospital.

"Siasatan forensik akan dijalankan terhadap kamera litar tertutup (CCTV) yang dirampas. Pasukan polis Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak akan menjalankan siasatan lanjut,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menghadiri majlis itu.

Hasnan berkata, kedua-dua supek berusia 29 dan 37 tahun manakala kedua-dua mangsa berusia 30 tahun.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 325/506 kanun yang sama.

Dalam kejadian Jumaat lalu, dua anggota TLDM Laskar Kelas 1, Nik Muhammad Bahaiqy Nik Mat, 28 dan Laskar Kelas 1, Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan.

Bedah siasat yang dijalankan mendapati kematian dua anggota berkenaan berpunca akibat berlaku penderaan fizikal hingga mengakibatkan kecederaan dalaman.

Berita berkaitan

Mahu keadilan demi cucu

Sihat sebelum masuk bilik tahanan

Reman tujuh hari

Anggota TLDM meninggal disiasat kes bunuh

Kecederaan dalaman juga

Tiba-tiba minta maaf

Isteri kata ada unsur jenayah

Eqiey kata nak berhenti kerja

Tunggu keputusan bedah siasat

Naluri isteri LK 1 Nik Mohd Baihaqy

Anggota TLDM maut

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 8:01 PM