TERTUDUH (tengah) di Mahkamah Majistret Tangkak. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
TERTUDUH (tengah) di Mahkamah Majistret Tangkak. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat


LELAKI Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak, hari ini atas pertuduhan membunuh majikannya di bangsal di kebun kelapa sawit di Sagil Tangkak, 16 Ogos lalu.

Tertuduh Samsul Hadi, 35, dituduh membunuh mangsa Sam Peng Kok, 46, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu di reban ayam milik mangsa didakwa melakukan perbuatan berkenaan di antara 10 pagi hingga 1 tengahari pada hari kejadian.

Tertuduh mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah namun tiada pengakuan direkodkan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Siti Alina Mohd Adil meminta mahkamah tarikh baru bagi membolehkan laporan bedah siasat dan kimia diperolehi.

Majistret ND Arun membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan pada 2 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 10:47 AM