BINTANG Jamaica mahu buktikan kepada dunia sebelum akhiri karier.
BINTANG Jamaica mahu buktikan kepada dunia sebelum akhiri karier.
AFP

London: Bintang pecut legenda Jamaica, Usain Bolt (gambar) melabelkan dirinya sebagai bukan pilihan ketika dia cuba mengakhiri karier individu penuh gemilang dengan mempertahankan kejuaraan dunia 100m minggu ini.

“Itulah yang sering kali saya baca dan apa yang pasukan saya asyik katakan kepada saya, jadi saya perlu membuktikannya sekali lagi,” kata pelari berusia 30 tahun itu memberi amaran ringkas kepada pencabarnya bagi acara riben biru Kejohanan Dunia IAAF.

Bolt memulakan musim ini dengan hambar, berlari dua perlumbaan lebih 10 saat sebelum akhirnya menemui sentuhan pada Liga Berlian Monaco.

“Perlumbaan terakhir saya 9.95s, yang menunjukkan saya berada di landasan tepat,” katanya.

“Ia kejohanan dunia dan dua pusingan awal sering membantu saya. Saya sudah berada di sini beberapa kali. Ia masa untuk bertindak, jadi saya perlu hadapinya!”

Dia menegaskan: “Usain Bolt bersara tanpa kalah dalam acara individu, tidak berjaya ditumpaskan, sukar disekat - bagi saya ia tajuk utama terbaik!

“Jika saya tampil pada satu kejohanan anda tahu saya penuh yakin dan bersedia melakukannya, saya sudah bersedia.”

Bolt enggan menamakan sebarang pencabar terdekatnya dalam 100m, dengan saringan malam esok sebelum separuh akhir dan akhir Sabtu ini di stadium sama di timur London yang mana dia menang tiga pingat emas Olimpik 2012.

“Tujuh pelari yang akan berlumba di samping saya, mereka adalah pencabar utama,” katanya.

Bolt mendominasi acara pecut sejak memenangi dua pingat emas individu Olimpik Beijing 2008, seterusnya menang enam emas Olimpik dan 11 emas kejohanan dunia.

Dia turut memegang rekod dunia 9.58s dan 19.19s dalam acara 100m dan 200m, kedua-duanya dilakukan ketika menang pada Kejohanan Dunia 2009 di Berlin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 3:15 AM