Muhammad Naufal Zafran Mohd Zahiruddin dirawat di HSB selepas badannya melecur teruk disambar api ketika bermain minyak petrol. - Foto Ihsan Pembaca
Muhammad Naufal Zafran Mohd Zahiruddin dirawat di HSB selepas badannya melecur teruk disambar api ketika bermain minyak petrol. - Foto Ihsan Pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi


TUBUH seorang budak lelaki berusia tujuh tahun, Muhammad Naufal Zafran Mohd Zahiruddin, 7, melecur 30 peratus akibat disambar api ketika bermain minyak petrol di taman permainan di Taman Jelutong, Kuala Nerang, semalam.

Dalam kejadian 2.35 petang itu, mangsa bersama seorang rakannya, juga berusia tujuh tahun, menemui botol berisi minyak petrol itu dalam longkang berdekatan taman permainan berkenaan.

Difahamkan ketika kejadian, rakannya kebetulan bermain pemetik api menyebabkan minyak petrol itu terbakar dan menyambar Muhammad Naufal manakala rakannya tidak cedera.

Bapa mangsa, Mohd Zahiruddin Zakarian, 42, berkata dia menyedari kejadian menimpa anak keempat daripada lima beradik itu ketika menunggang motosikal melalui taman permainan untuk pulang.

Menurutnya, dia melihat Muhammad Naufal sedang cuba menanggalkan seluarnya selepas melecur di belakang badan, pinggang, kedua-dua belah tangan dan muka.

"Ketika itu api masih menyala pada pakaiannya manakala badan anak saya melecur teruk serta berbau minyak petrol.

"Saya terus membawanya pulang sebelum menghantarnya ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan. Dia dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, kerana kecederaan teruk," katanya ketika ditemui di HSB, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 1:30 PM