Gambar hiasan
Gambar hiasan
Hazsyah Abdul Rahman


SERAMAI 14 penduduk Kampung Paris Satu di Kinabatangan dilaporkan hilang di Hutan Simpan Ulu Segama, sejak 21 Jun lalu sehingga kini.

Semua mangsa lelaki berusia antara 20 hingga 58 tahun.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak perempuan seorang mangsa pada Ahad lalu kira-kira 12 tengah hari.

“Menurut laporan, pada Rabu lalu kira-kira 2.30 petang, seramai lima lelaki menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda menuju ke Sungai Bilong di hutan itu untuk mencari ikan.

"Sehingga Jumaat, semua mangsa tidak pulang dan gagal dihubungi. Kemudiannya, sembilan penduduk kampung termasuk ahli keluarga mangsa melakukan pencarian pada hari berkenaan.

"Kumpulan itu pada awalnya sempat menemui dua kenderaan pacuan empat roda yang digunakan lima mangsa hilang. Namun, kumpulan itu turut dilaporkan hilang dan gagal dihubungi sehingga hari ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

A Sahak berkata, sejurus laporan diterima, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan.

"Setakat pagi ini, tempat dipercayai mangsa berehat dengan bekas plastik bungkusan makanan dan kotak rokok kosong dipercayai milik mangsa ditemui dalam hutan berkenaan.

“Usaha mengesan mangsa giat dijalankan dengan menumpukan sekitar 2.2 kilometer dipercayai jejak mangsa bergerak masuk.

“Bagaimanapun, motif dan punca kejadian sebenar masih dalam siasatan lanjut," katanya.

Katanya, setakat ini kira-kira 80 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan penduduk kampung terbabit SAR.

“Pagi ini juga, kami sedang menunggu bantuan helikopter PDRM yang akan digunakan bagi memantau dari udara.

“Maklumat lanjut berhubung perkembangan SAR akan disalurkan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 10:49 AM