KEKECOHAN berlaku antara David dan Mat Over. FOTO Asyraf Hamzah
KEKECOHAN berlaku antara David dan Mat Over. FOTO Asyraf Hamzah
Nursyahirah Marzuki


IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya membuka kertas siasatan selepas menerima dua laporan polis mengenai kekecohan yang berlaku ketika sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama penggiat seni, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, kedua-dua laporan berkenaan dibuat oleh pihaknya dan orang awam yang tidak berpuas hati dengan insiden terbabit selepas melihat video yang tular di media sosial.

"Laporan polis yang diterima daripada orang awam itu dibuat di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur, tengah hari tadi manakala, laporan daripada pihak polis sendiri dibuat, petang tadi.

"Kita membuat laporan berkenaan selepas video berkenaan tular di media sosial dan menjadi tanggungjawab kami untuk membuat laporan yang membolehkan kertas siasatan dibuka.

"Bagaimanapun, esok kita akan menghantar kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan siasatan dan selepas itu kita akan memanggil individu terbabit bagi memberi keterangan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, hari ini.

Katanya, kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan keseksaan yang boleh dikenakan penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

"Dua individu dan saksi dalam insiden malam tadi akan dipanggil dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut," katanya.

Malam tadi, sesi Dialog TN50 antara penggiat seni dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gempar apabila berlaku pergaduhan antara Penerbit Filem Datuk David Teo dan pelawak Sulaiman Yassin atau lebih dikenali Mat Over.

Insiden bermula apabila David menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Datuk Rosyam Noor selaku moderator yang tidak memandang ke arah tempat duduknya, sebaliknya memberi fokus kepada penonton di barisan hadapan.

David menyifatkan tindakan Rosyam tidak adil kerana tidak memberi laluan kepada mereka di barisan belakang untuk bertanya soalan dan menyuarakan pandangan.

Dalam kekecohan mempertahankan pendapat masing-masing, Mat Over secara tiba-tiba meluru ke depan pentas bagi memberi amaran kepada David dan menampar muka penerbit itu.

Selepas kekecohan itu, Najib dan Rosyam tetap meneruskan dialog sehingga ke penghujung acara sehinggalah David dan Mat Over dibawa masuk semula ke dalam dewan untuk bertemu Najib bagi menyelesaikan perkara itu secara baik.

Berita berkaitan:

Tak kesal tampar David Teo [METROTV]

'Mujur saya sabar...'

'Dah lama saya simpan soalan tu'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 6:59 PM