Insiden tampar di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika program dialog Transformasi Nasional (TN50) segmen penggiat seni pada Rabu lalu, masih hangat diperkatakan.

Dialog yang berlangsung di kediaman Perdana Menteri (PM) di Seri Perdana, Putrajaya, dihadiri kira-kira 300 penggiat seni, terganggu seketika apabila produser David Teo tampil mempersoalkan moderator, Datuk Rosyam Nor tidak adil kerana tidak memberi peluang kepada mereka yang berada di barisan belakang.

Rosyam meminta David menjaga adab kerana berada pada majlis dihadiri PM dan kemudian memberi peluang kepadanya untuk bertanya soalan. Baru saja David memegang mikrofon dan memulakan soalan dengan berpantun, tiba-tiba pelakon Sulaiman Yassin atau Mat Over meluru lalu menamparnya.

Pengawal keselamatan yang berada di situ terus membawa mereka keluar dan majlis diteruskan semula. Tidak lama kemudian kedua-duanya dibawa masuk sebelum majlis berakhir dan bermaafan di hadapan PM.

Semua itu berlaku di depan mata kira-kira dua meter jaraknya dari tempat duduk saya di barisan depan bersama wakil Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).

Ingatkan drama berakhir di situ tetapi di luar dewan satu negara sudah kecoh apabila ia dapat disaksikan secara live menerusi Facebook PM dan terus menjadi topik hangat di laman sosial Khamis lalu.

Pada mulanya ramai naik emosi menuding jari kepada David hingga Mat Over diangkat sebagai wira. Bagaimanapun apabila rakaman video dari pelbagai sudut tular di media sosial dan umum melihat dengan jelas apa sebenarnya yang berlaku, kesalahan berpindah kepada moderator yang disifatkan gagal mengawal suasana hingga berlaku insiden itu.

Hakikatnya, dari awal Rosyam berjaya mengendalikan majlis dengan tenang dan santai dimulakan dengan swafoto bersama PM.

Mungkin dalam keadaan tiba-tiba seperti itu, agak sukar untuk Rosyam mengendalikan situasi tetapi di situlah kebijaksanaan moderator diuji.

Dengan pengalaman yang ada, Rosyam cuba meredakan suasana tetapi tindakan Mat Over masuk campur, merosakkan segala-galanya.

Tindakan David tampil ke depan meluahkan rasa tidak puas hatinya boleh dilihat sebagai satu keberanian kerana mengkritik depan-depan. Mungkin ada yang melihat ia kurang ajar dan tidak wajar.

Bagaimanapun, apabila namanya luahan tidak puas hati, sudah tentu diiringi dengan emosi dan Rosyam juga sedikit emosi apabila caranya dipertikaikan di hadapan umum. Mat Over pula tidak mampu menahan emosinya yang membara hingga terus meluru dan menampar muka David.

Jelas Mat Over bersalah kerana menjatuhkan hukuman di tangan sendiri dan tindakannya itu boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan.

Nasi sudah menjadi bubur, semoga menjadi pengajaran pada masa akan datang. Isu itu kini berlanjutan apabila Jumaat lalu polis memulakan siasatan selepas menerima dua laporan dan akan memanggil tiga pihak utama yang terbabit serta beberapa saksi yang berada di situ untuk diambil keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda maksimum RM2,000.

Tidak cukup dengan itu, beberapa kumpulan berkumpul di depan pejabat David di Petaling Jaya Khamis lalu menuntut penerbit yang menghasilkan 123 filem sejak 2000 itu memohon maaf kerana didakwa biadab terhadap Najib.

Sepatutnya curah idea, bukan luah kecewa

Peluang keemasan yang diberikan PM untuk mendengar dan berkongsi segala masalah dalam industri seni tanah air melalui dialog TN50, gagal digunakan sebaiknya oleh penggiat seni tanah air.

Seharusnya penggiat seni berbincang dan mengumpul idea untuk dikemukakan kepada kerajaan supaya dapat membantu industri seni bertambah maju dan hebat hingga ke peringkat antarabangsa menjelang 2050.

Jika 2017 menyaksikan beberapa anak seni berjaya mengorak langkah ke luar negara, sudah tentu menjelang 2050 makin ramai anak seni kita yang berjaya.

Jika 2017 ada beberapa filem kita berani pertaruhkan ke festival antarabangsa, menjelang 2050 kita mahu filem kita berjaya melakar kejayaan besar bukan hanya sekadar anugerah khas sebagai penghargaan penyertaan.

Jika 2017 penggiat seni seperti meminta sedekah daripada syarikat korporat untuk mendapatkan tajaan menganjurkan konsert, menjelang 2050 kita mahu perkara ini bukan lagi satu masalah.

Jika sekarang produser filem masih berkiblatkan Bangkok, Thailand untuk proses akhir filem mereka, menjelang 2050 kita mahu produser luar pula datang ke sini untuk menggunakan kepakaran anak tempatan untuk proses akhir filem mereka.

Hakikatnya, bukannya kita tidak ada kemudahan itu kerana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sebagai badan bertanggungjawab membantu industri filem tanah air, mempunyai Mix Stage di Hulu Klang yang mempunyai peralatan canggih setanding di Bangkok.

Kita juga ada Pinewood Iskandar di Johor yang dilengkapi kelengkapan canggih, tetapi Bangkok masih menjadi pilihan. Mix Stage kini menjadi gajah putih yang tidak lagi digunakan kerana tidak mampu menanggung kos penyelenggaraan.

Bagaimana Mix Stage hendak maju apabila produser kita membawa filem mereka ke Bangkok atas alasan kepakaran mereka lebih bagus dan kos lebih murah.

Sepanjang dua jam berdialog, hanya ada beberapa soalan yang disifatkan boleh dibawa ke hadapan, selainnya sekadar luahan masalah yang berlaku kepada persatuan dan ahlinya seperti membeli rumah, bayaran rendah penyanyi dangdut, skim pencen atau meminta pelepasan cukai. Malah ada yang sekadar berkongsi apa yang mereka lakukan selama ini.

Antara soalan yang bagus daripada Datuk Norman Abdul Halim meminta kerajaan memberi kelonggaran untuk karyawan berkarya melalui Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) begitu juga Datin Paduka Shuhaimi Baba dan Bront Palarae.

Cadangan Shuhaimi untuk pembinaan studio mini bagi kemudahan karyawan filem, mendapat maklumbalas spontan daripada PM apabila bertanyakan kos yang diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 6:20 AM