GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ferzalfie Fauzi


KEPENTINGAN sains sukan dalam sukan pemotoran menyaksikan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengambil inisiatif untuk menjadikan Institut Sukan Negara (ISN) sebagai rakan strategik terbaru mereka.

Kerjasama ini juga akan lebih terarah kepada bidang perkhidmatan sukan berprestasi tinggi sekali gus meletakkan Malaysia antara negara yang memandang serius kepada sukan permotoran.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, ISN bersetuju memberikan perkhidmatan prestasi tinggi dengan merancang dan melaksanakan program sains dan perubatan sukan kepada pelumba PETRONAS Sepang Racing Team serta mereka yang di bawah program pembangunan bakat SIC, Impian Ke MotoGP (IKM) sebelum menyertai Kejuaraan Dunia Remaja CEV Sepanyol (CEV), European Talent Cup, Idemitsu Asia Talent Cup dan Asia Road Racing Championship (ARRC).

Antara perkhidmatan lain bakal diberikan oleh ISN ialah aplikasi sains sukan yang komprehensif serta sistematik berasaskan amalan terbaik dan penyelidikan dalam pengkhususan seperti pemakanan, psikologi, fisiologi senam, biomekanik dan suaian fizikal spesifik untuk sukan permotoran.

Institut itu juga bersetuju memberikan perkhidmatan perubatan sukan seperti pemeriksaan kesihatan, rawatan kecederaan, rawatan fisioterapi dan rehabilitasi, rawatan pemulihan sukan dan ujian-ujian klinikal.

ISN dan SIC juga mengharapkan lebih banyak pertukaran pengalaman dan kajian sukan berprestasi tinggi bagi sukan permotoran dapat dilaksanakan melalui kerjasama ini.

Kerjasama ini juga sangat penting bagi pertukaran maklumat, pengalaman, pengetahuan dan kajian penyelidikan terkini ke arah kemajuan sukan permotoran negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 9:31 PM