Ramli mendoakan anaknya, Hakim Danish mampu gegar dalam saingan European Talent Cup di Litar Catalunya Sepanyol pada 13 Jun ini. FOTO Ihsan Ramli Ibrahim.
Ramli mendoakan anaknya, Hakim Danish mampu gegar dalam saingan European Talent Cup di Litar Catalunya Sepanyol pada 13 Jun ini. FOTO Ihsan Ramli Ibrahim.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Kuatkan semangat dan sabar selain fokus serta berusaha lakukan yang terbaik dalam perlumbaan bersejarah itu untuk gegar Litar Catalunya, Sepanyol," pesan Ramli Ibrahim, 53, bapa kepada pelumba muda negara, Hakim Danish,14.

Mekanik berasal dari Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu itu turut mengingatkan anak kedua daripada empat beradik itu agar tidak hanyut dalam perlumbaan itu sebaliknya perlu tampil lebih bertenaga untuk memburu podium walaupun perlu bersaing dengan pelumba muda handalan dari negara lain.

"Bersaing di peringkat dunia sudah pasti memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang kuat lebih-lebih lagi untuk mengendalikan jentera motosikal itu di litar yang belum biasa buatnya.

"Jadi sebagai bapa walaupun berjauhan, saya sering mengingatkan Hakim agar konsisten dalam perlumbaan itu selain tidak patah semangat sebaliknya berusaha sebaik mungkin untuk memburu podium.

"Saya berkeyakinan dengan latihan berterusan termasuk berpeluang ke Portugal sebelum ini menyaksikan perlumbaan di sana dan ditambah peningkatan yang dipamerkan ketika beraksi di Qatar sebelum ini, peluang buatnya untuk membuktikan kemampuan di Sepanyol tetap ada.

"Ditambah pula Hakim ada memaklumkan melalui aplikasi WhatsApp untuk menghadiahkan sesuatu yang bermakna buat negara dan keluarga dalam perlumbaan itu nanti sebagaimana yang dilakukan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah," katanya.

Pelumba berbakat negara kelahiran Terengganu itu yang beraksi cemerlang pada saingan Asia Talent Cup (ATC) di Qatar sebelum ini dengan tiga kali berjaya menaiki podium bakal membuat penampilan sulung dalam saingan European Talent Cup (ETC) bersama pasukan Liqui Moly Intact SIC Racing Team di Litar Catalunya Sepanyol pada 13 Jun ini bersama rakan sepasukannya, Sharul Ezwan Sharil.

Mengulas permulaan pembabitan anaknya dalam sukan permotoran itu, Ramli menjelaskan Hakim yang menjadikan pelumba Itali, Velentino Rossi sebagai idolanya mula berjinak dalam sukan itu sejak berusia lapan tahun lagi.

"Hakim yang bercita-cita untuk beraksi dalam perlumbaan utama dunia ataupun sekurang-kurangnya Moto2 mula aktif dengan sukan ini bermula di peringkat sekolah rendah lagi ketika belajar di Sekolah Kebangsaan Kedai Buluh sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor, Kuala Terengganu.

"Bermula dengan motosikal berkuasa rendah, saya yang juga bertindak sebagai jurulatihnya pada peringkat awal mula melatihnya dengan jentera lebih besar sedikit sebelum menyertai beberapa perlumbaan di seluruh negara.

"Melihat dengan kesungguhannya selain bakat yang dia ada, saya berkeyakinan Hakim mampu melangkah lebih jauh lagi dalam sukan permotoran itu, namun saya juga ingatkan dia agar tidak mengabaikan pelajaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 6:50 PM