SKUAD Harimau Malaya bakal jalani latihan antara 29 Januari hingga 7 Februari depan.
SKUAD Harimau Malaya bakal jalani latihan antara 29 Januari hingga 7 Februari depan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Dilema antara kelab dan negara kembali membelenggu skuad bola sepak kebangsaan berikutan perancangan terganggu disebabkan pandemik Covid-19.

Mengikut perancangan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, beliau mahu mulakan latihan antara 29 Januari hingga 7 Februari depan dalam usaha merencana strategi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Namun, dalam tempoh itu, kelab sedang sibuk menjalani latihan sebagai persiapan menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) pada penghujung Februari.

Pengurus skuad kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, situasi berkenaan antara perkara yang dibincangkan oleh sekretariat pasukan dalam menentukan bermulanya latihan membabitkan skuad Harimau Malaya.

Beliau berkata, jika mengikut perancangan sebelum ini, pasukan Liga M tiada masalah untuk melepaskan pemain mereka menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya.

"Namun, situasi sekarang sudah berbeza apabila tarikh latihan skuad Harimau Malaya bermula lewat sekali gus dibimbangi tidak mendapat pelepasan daripada pasukan masing-masing. "Jika saingan Liga M bermula hujung Februari, sudah tentu mereka mahu mempersiapkan pasukan dengan memastikan setiap pemain ada sekali gus berat untuk melepaskan ke kem skuad Harimau Malaya," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya diberikan kebenaran untuk menjalani kem latihan pusat secara kuarantin di MSN Jalil dalam masa terdekat.

Menteri Belia dan Sukan,Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu dipersetujui hasil perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 10:02 PM