MIRNAWAN ingatkan pemain jaga diri bagi elakkan jangkitan Covid-19.
MIRNAWAN ingatkan pemain jaga diri bagi elakkan jangkitan Covid-19.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Skuad hoki negara mungkin akan mengikut jejak langkah pasukan bola sepak Harimau Malaya yang mendapat lampu hijau untuk menjalani kem latihan pusat secara kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN).

Bagaimanapun, pengurus skuad kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, ketika ini belum ada keperluan untuk itu, sebaliknya skuad bimbingan Arul Selvaraj hanya menjalani rutin latihan secara dalam talian.

Beliau berkata, pihaknya menerusi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mungkin akan mengemukakan permintaan kepada MSN bagi menjalani latihan berpusat jika kejohanan paling terdekat, Trofi Juara-Juara Asia (ACT) yang berlangsung Mac depan akan tetap dianjurkan.

"Selepas MHL (Liga Hoki Malaysia) ditangguhkan, barisan pemain kebangsaan kini dipanggil semula untuk menjalani latihan secara dalam talian. Kami mempunyai aplikasi untuk melihat prestasi setiap daripada mereka.

"Setakat ini kami mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana status ACT yang sebelum ini dikatakan batal hanyalah khabar angin sahaja dan belum ada kenyataan rasmi daripada AHF (Persekutuan Hoki Asia).

"Jika kejohanan itu diteruskan dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilanjutkan, maka MHC mungkin kemuka permohonan agar skuad negara dapat beraksi di atas padang," katanya.

Jelas Mirnawan, pihaknya juga sering mengingatkan setiap pemain supaya menjaga diri masing-masing bagi mengelakkan dijangkiti wabak Covid-19.

"Sudah tentu kami tidak dapat mengawal sepenuhnya pergerakan setiap pemain, tetapi kami sentiasa memberi peringatan kepada mereka," katanya.

ACT dijadual berlangsung dari 11 sehingga 19 Mac di Bangladesh.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 6:16 PM