PENG Soon dan Liu Ying atasi gandingan Belanda.
PENG Soon dan Liu Ying atasi gandingan Belanda.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Aksi hari ketiga Kejohanan Badminton Terbuka Thailand di Bangkok menyaksikan kehebatan barisan beregu profesional negara yang melakar kemenangan untuk menempah tempat ke suku akhir.

Kehebatan barisan pemain negara dimulakan dengan kejayaan beregu lelaki profesional Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang menjadi wakil pertama negara layak ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Amerika Syarikat (AS), Philip Chew-Ryan Chew 21-9, 21-12.

Menanti mereka di suku akhir adalah pilihan keenam dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.

Kejayaan mereka turut diiringi pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tidak berdepan masalah menundukkan pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 21-18, 21-13.

Bagaimanapun hasrat untuk bertemu rakan senegara Goh Soon Huat-Shevon Lai di suku akhir tidak kesampaian apabila Soon Huat-Shevon Lai tewas kepada pilihan utama yang juga wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 22-20, 18-21, 12-21.

Bagi Liu Ying, dia gembira kembali menemui sentuhan selepas agak kekok di set pertama. "Saya akui di set pertama saya tak bermain dengan baik. Saya macam hilang arah dalam gelanggang. Rasanya mungkin saya masih tidak dapat suaikan diri lagi tapi di set kedua, semua semakin baik dan kami sudah mendapat rentak.

"Tapi untuk esok masih lagi tiada perancangan atau strategi khusus. Kena masuk gelanggang dulu dan baru tahu apa yang perlu dilakukan. Memang semua orang tahu pasangan Thailand itu bagus, tapi kami akan berikan saingan kepada mereka untuk ke separuh akhir," katanya. Sementara itu satu lagi beregu lelaki yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut menempah slot lapan terbaik selepas menyingkirkan Ben Lane-Sean Vendy dari England, 21-11, 21-19.

Namun langkah Liew Daren ke suku akhir terhenti apabila tewas kepada wakil Hong Kong, Lee Chiuk Yiu 21-14, 21-17. Turut tersingkir ialah beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 5:45 PM