MISBUN memberi tunjuk ajar kepada pemain remaja.
MISBUN memberi tunjuk ajar kepada pemain remaja.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Datuk Misbun Sidek mengakui masih tercari-cari seorang pemain berbakat yang mempunyai karakter seperti bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei.

Jelas Misbun, untuk mendapatkan pemain mirip Chong Wei sangat sukar kerana bekas pemain nombor satu dunia itu mempunyai sikap yang sentiasa menuruti apa sahaja kehendaknya.

"Daripada generasi sekarang, nak cari (pemain seperti) Lee Chong Wei itu yang paling susah sebab dia tidak pernah berkata tidak. Dia ikut sahaja apa yang saya mahukan. Jika tak faham, dia akan bertanya. Chong Wei juga tahu kedudukan dirinya dengan jurulatih selain tahu bagaimana hendak menawan hati jurulatih," katanya menerusi program pembelajaran teknik asas badminton secara maya.

Misbun yang pernah melatih Chong Wei dan kini menggalas tugas selaku Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, sikap Chong Wei meningkatkan lagi semangatnya untuk memberi tumpuan kepada jaguh perseorangan negara itu.

"Chong Wei mahu menjadi pemain nombor satu dunia dan saya siapkan dirinya ke arah itu, supaya dia yakin apa yang saya berikan. Akhirnya dia menjadi pemain perseorangan negara paling terbaik, mengatasi Rashid (Sidek), Roslin (Hashim) dan Hafiz (Hashim)," katanya.

Jelas Misbun, beliau hanya menuntut dua perkara daripada anak buahnya jika mahu berjaya, iaitu masa dan tenaga.

"Kalau saya cakap latihan jam 5 pagi, 4.30 pagi perlu sudah bersedia. Jika saya mahu pakai tenaga pemain itu selama satu jam setengah, maka mereka perlu bersedia sepenuhnya. Jika tak sanggup untuk bekerja keras, maka tak akan berhasil kerana mereka yang bergelar juara adalah atlet luar biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 6:35 PM