MESSI (kiri) diraikan rakan sepasukan selepas meledak gol Barca. FOTO AFP
MESSI (kiri) diraikan rakan sepasukan selepas meledak gol Barca. FOTO AFP
AFP

Madrid: Jaringan Lionel Messi menyelamatkan Barcelona daripada keputusan memalukan apabila menang tipis 1-0 ke atas kelab bawahan, Levante manakala Real Sociedad kembali ke puncak La Liga, awal pagi tadi.

Messi meledak jaringan 14 minit sebelum tamat dalam aksi hambar Barca di Camp Nou namun gagal memuaskan hati penyokong selepas tewas 0-3 kepada Juventus pertengahan minggu lalu.

Skuad Ronald Koeman masih ketinggalan dalam saingan kejuaraan dengan sembilan mata di belakang Sociedad yang merampas kembali kedudukan pendahulu walaupun hanya seri 1-1 menentang Eibar tetapi Barcelona berkelebihan dua perlawanan.

Atletico menyamai 26 mata dengan Sociedad tetapi turut berkelebihan dua perlawanan manakala Real Madrid kini hanya tiga mata di belakang pendahulu selepas menewaskan musuh setempat itu 2-0, Sabtu lalu.

Villarreal pula ketinggalan empat mata di tangga keempat selepas seri 1-1 di Real Betis yang satu mata di belakang Barca di tangga kesembilan.

"Pasukan bermain dengan lancar, mereka memberi sebaik mungkin tetapi agak kurang keyakinan dalam diri sendiri, permainan. Kami miliki banyak peluang dan saya tiada apa mahu diperkatakan mengenai sikap pemain dalam aksi ini.''

Gol kemenangan Barca diperolehi apabila Messi yang mendapat hantaran Frenkie de Jong meluru pantas ke kotak penalti dan merembat kencang melepasi jangkauan penjaga gol, Aitor Fernandez.

Dalam perlawanan awal di San Sebastian, jaringan Ander Barrenetxea meletakkan Real Sociedad di depan pada minit ke-20 tetapi Sergi Enrich menyamakan kedudukan buat tuan rumah ketika permainan berbaki 25 minit untuk melonjakkan pasukannya di tangga ke-10 dengan 15 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 8:40 AM