Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penswastaan pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan masih mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri adalah perkara sia-sia.

Ia boleh dianggap sebagai 'wayang' yang hanya cantik di atas kertas namun masih tidak memahami konsep sebenar penswastaan.

Menurut pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, proses penswastaan yang sedang berlaku dalam saingan Liga M ketika ini bukanlah konsep sebenar apabila kebanyakan pasukan masih mengharapkan ihsan kerajaan negeri.

Katanya, segelintir pasukan dilihat masih mengamalkan cara pengurusan 'kuno' dengan selesa menunggu bantuan tanpa bergerak sendiri seperti model sebenar penswastaan.

Sambil memberikan contoh JDT, beliau menegaskan kejayaan skuad Harimau Selatan selama ini adalah hasil perancangan jangka panjang dan pendek yang berkesan, di samping pelan strategi pemasaran serta pelaburan yang tepat.

"Saya berbangga kerana JDT mempunyai strategi perniagaan tersendiri termasuk dari sudut komersil untuk menjana dana dan melabur dalam projek jangka panjang dan bukannya hanya menunggu kerajaan negeri untuk membina infrastruktur, malah mengeluarkan dana setiap tahun.

''Apa yang sedang berlaku dalam industri bola sepak Malaysia bukanlah penswastaan yang sebenar. Ianya cuma gambaran di mana perkara yang berubah hanyalah di atas kertas tetapi amalan lama masih diteruskan dan tetap mengharapkan dana kerajaan.

''Apabila saya mewujudkan JDT dan menswastakannya pada 2013, terdapat sebilangan orang yang mempersendakan kami. Sekarang JDT sudahpun mencatat pelbagai kejayaan di dalam dan di luar padang sementara pasukan lain hanya pada hari ini, 2020 memikirkan tentang logo baru mereka," katanya di laman sosial kelab terbabit.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mewajibkan semua pasukan Liga M diswastakan dengan melakukan pemisahan FA (Persatuan Negeri) kepada FC (kelab bola sepak) yang menyaksikan tempoh proses berkenaan sudah berakhir pada 30 September lalu.

Bagaimanapun, difahamkan daripada 21 pasukan dalam Liga-M, hanya empat pasukan iaitu JDT, Petaling Jaya City (PJ City), Kelantan dan Sarawak United bergerak secara profesional apabila kelab terbabit dimiliki sepenuhnya secara individu oleh seorang pemilik.

Manakala, selebihnya masih di bawah kawalan individu yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri ataupun pemilikan saham oleh agensi- agensi berkaitan kerajaan.

Begitupun, FAM sebelum ini pernah menjelaskan, kesemua pasukan diberi peluang dan tempoh selama dua tahun sehingga 2022 untuk mencari pemilik pasukan secara tetap.

Ujar Tunku Ismail lagi, beliau pernah menolak bantuan dana daripada kerajaan negeri kerana ia adalah duit rakyat yang seharusnya digunakan untuk pembangunan negeri.

''Saya berasa bangga mengemudikan sebuah kelab bola sepak yang tidak bergantung kepada dana kerajaan. Malah, JDT menolak penggunaan dana kerajaan negeri sejak 2013 kerana ianya adalah wang rakyat dan seharusnya digunakan untuk keperluan lain yang lebih memanfaatkan rakyat, terutama ketika waktu getir seperti pandemik Covid-19 yang menjejaskan kesemua lapisan masyarakat.''

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 12:36 PM