PEMEGANG tiket bola sepak Malaysia menentang Brunei boleh masuk percuma pada aksi menentang Singapura.
PEMEGANG tiket bola sepak Malaysia menentang Brunei boleh masuk percuma pada aksi menentang Singapura.
BERNAMA

PENONTON yang sudah membeli tiket perlawanan bola sepak antara Malaysia menentang Brunei semalam, akan dibenar masuk percuma menyaksikan perlawanan kedua skuad negara menentang Singapura di Stadium Shah Alam, esok.

Jawatankuasa Penganjur Malaysia (MASOC) dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira ketidakselesaan yang dihadapi penyokong dalam perlawanan pertama semalam.

“Kepada mereka yang sudah membeli tiket perlawanan Malaysia menentang Brunei (semalam), mereka hanya perlu menunjukkan keratan tiket itu di pintu stadium.

“Bagi mereka yang sudah membeli tiket dalam talian bagi perlawanan Malaysia menentang Brunei, mereka perlu mencetak tiket dan membawanya bersama untuk ditunjukkan di pintu masuk stadium untuk menyaksikan perlawanan,” kata kenyataan MASOC.

Bagaimanapun, tiket yang sudah digunakan atau rosak, tidak diterima.

Jawatankuasa itu juga berkata, mereka yang sudah membeli tiket untuk kedua-dua perlawanan, Malaysia melawan Brunei dan Malaysia menentang Singapura, perlu membawa tiket untuk masuk ke stadium namun tiket Malaysia melawan Brunei perlu dibawa bersama untuk kemasukan tambahan ke dalam stadium.

“Kepada mereka yang ingin membeli tiket perlawanan Malaysia menentang Singapura, mereka boleh berbuat demikian di kaunter tiket seperti biasa,” kata kenyataan itu.

Kaunter tiket dibuka seawal 10 pagi dan tiket perlawanan Malaysia menentang Singapura esok, juga boleh dibeli secara dalam talian di www.kualalumpur2017.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 10:16 PM