DARI kiri, Dr Jessie bersama Gladys dan Dr Amir ketika perbincangan mengenai kempen kesedaran kesihatan kanak-kanak anjuran Nippon Paint Malaysia.
DARI kiri, Dr Jessie bersama Gladys dan Dr Amir ketika perbincangan mengenai kempen kesedaran kesihatan kanak-kanak anjuran Nippon Paint Malaysia.
Siti Zarinah Sahib

Ramai ibu bapa beranggapan berada di dalam rumah lebih selamat berbanding di luar kerana bebas habuk, asap dan debu akibat pencemaran udara. Namun, sebenarnya persekitaran dalam kediaman juga ada potensi risiko kesihatan terhadap kanak-kanak.

Kajian mendapati 88 peratus ibu bapa tidak mengetahui dinding rumah menjadi medium perantara virus dan bakteria, manakala kajian lain pula menunjukkan kanak-kanak menghabiskan lapan hingga 20 jam sehari di dalam rumah.

Menurut Presiden Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia dan Pakar Imunologi Klinikal, Alergi dan Pediatrik, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr Amir Hamzah kebanyakan ibu bapa terlepas pandang untuk membersih­kan dinding seperti lantai rumah mereka. Sedangkan dinding adalah tapak bagi pembiakan bakteria dan virus yang berisiko terutama kepada kanak-kanak selain perabot dan barang permainan.

“Dinding adalah antara tempat ibu bapa sering terlepas pandang. Biasanya, dinding tidak dicuci dengan kerap berbanding permukaan seperti lantai. Keadaan ini menyebabkan habuk, kulat, bakteria dan virus terkumpul. Ini boleh membawa kepada jangkitan atau reaksi alahan (alergi),” katanya.

Tambahnya lagi kanak-kanak kini lebih banyak menghabiskan masa di dalam bangunan, sama ada di rumah atau pusat jagaan. Mereka gemar menonton televisyen dan ‘menggenggam’ gajet berbanding bermain di taman permainan.

Ibu bapa seharusnya lebih peka mengenai risiko yang ada di dalam bangunan dan memahami cara mengurangkan risiko ini. Ini boleh dilakukan dengan memerhatikan perlakuan anak sama ada mereka mengalami alahan atau sebaliknya selepas bermain atau melakukan sesuatu.

“Jika ibu bapa mengesyaki anak mengalami alahan, mereka perlu menjalani ujian bagi membantu menentukan puncanya. Ini untuk memastikan rumah bebas daripada bahan alahan ini,” katanya ketika sesi perbincangan meja bulat bersempena kempen kesedaran untuk kanak-kanak di Hospital Pantai Kuala Lumpur anjuran Nippon Paint Malaysia Group.

Ini dipersetujui Ketua Jabatan Pediatrik Respiratori dan Alahan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Jessie Anne De Bruyne, yang mengatakan riadah dan bermain adalah penting untuk perkembangan mental serta fizikal kanak-kanak. Oleh itu menjadi tugas ibu bapa agar sentiasa prihatin mengenai persekitaran dalam rumah yang selamat untuk kesihatan kanak-kanak seterusnya mencegah daripada mendapat serangan asma.

“Persekitaran dalam rumah adalah ruang utama penyebab penyakit lelah atau asma kepada kebanyakan kanak-kanak. Penyakit asma bukan hanya berpunca daripada persekitaran yang berhabuk dan berkulat tetapi juga daripada hama, bulu binatang termasuk bekas asap rokok yang semuanya boleh terkumpul pada dinding,” katanya.

Alahan pula boleh terjadi melalui tiga cara iaitu, sentuhan langsung, oral dan pernafasan. Ini boleh terjadi kerana kanak-kanak gemar bermain tanpa had dan mereka akan menjilat untuk merasa dinding selain suka bersandar di dinding. Kesannya mereka boleh mendapat jangkitan paru-paru, batuk dan selesema yang berpanjangan, asma, radang kulit, reaksi alahan seperti ekzema, demam sehingga menyebabkan mata dan hidung gatal dan berair serta jangkitan kulit.

Jelas Dr Jessie, secara amnya habuk, kulat dan bakteria dapat dikurangkan dengan memastikan pengudaraan di rumah cukup dan tidak tercemar. Buka tingkap dan gunakan alat pembersih udara bagi meneutralkan udara yang tercemar. Ibu bapa juga dinasihatkan menggunakan bahan yang tidak mudah berhabuk dan berkulat seperti cat atau kertas dinding antikulat dan antibakteria.

“Pastikan keadaan di dalam rumah tidak terlalu lembap sehingga menyebabkan kulat dan bakteria senang membiak. Kalau boleh, kurangkan barang yang boleh mengumpul habuk seperti majalah dan bunga plastik lama,” katanya.

Pengurus Besar Kumpulan Nippon Paint Malaysia Group, Gladys Goh menjelaskan kempen kesedaran kanak-kanak adalah sebahagian inisiatif syarikat itu dalam memperkasa pe­ngetahuan penting kepada ibu bapa untuk kesihatan dan pembesaran kanak-kanak. Ia menjadi komitmen dalam mengetengahkan maklumat berterusan de­ngan kerjasama pakar kesihatan seperti isu penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD) yang dilaksanakan sebelum ini.

Malah, syarikat itu juga komited dalam menyalurkan maklumat sebaiknya sebagai pengetahuan kepada ibu bapa yang boleh dijadikan panduan, kesedaran dan pencegahan. Dapatkan maklumat lanjut mengenai Nippon Paint Malaysia dan aspirasi yang diketengahkan dengan melayari www.nipponpaint.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 12:38 PM