MEREKA yang disahkan mempunyai diabetes perlu menjalani pemeriksaan mata dari masa ke masa.
MEREKA yang disahkan mempunyai diabetes perlu menjalani pemeriksaan mata dari masa ke masa.
Hafiz Ithnin


PENYAKIT diabetes atau kencing manis bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat kerana di Malaysia satu daripada lima rakyat di negara ini dikesan menghidapinya pada 2019, menjadikannya yang tertinggi di Asia dengan peningkatan 68.3 peratus.

Akibat penyakit berkenaan ia mampu memberi mudarat kepada pelbagai masalah kesihatan lain kepada si pesakit antaranya merosakkan mata dan mengakibatkan kehilangan kemampuan untuk melihat dan tidak dapat dipulihkan.

Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Retina Perubatan di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr Tara Mary George berkata, kebanyakan pesakit diabetes tidak sedar mengenai tahap serius komplikasi mata disebabkan diabetes.

Jelasnya, menurut satu kajian yang dijalankan baru-baru ini, hanya 58.6 peratus pesakit mengetahui bahawa mereka boleh mengalami komplikasi mata ketika mereka didiagnos.

"Namun hanya 43 peratus sedar bahawa mereka harus membuat pemeriksaan mata ketika didiagnos dengan diabetes. Diabetes boleh merosakkan salur darah pada retina dan titik fokus mata yang kritikal.

"Seterusnya membawa kepada kerosakan dan kehilangan keupayaan untuk melihat yang tidak dapat dipulihkan. Diabetes juga boleh menjejaskan aspek kesihatan mata yang lain, menyebabkan katarak atau mata kering iaitu keadaan yang boleh ditangani tanpa menyebabkan kehilangan keupayaan untuk melihat secara kekal," katanya.

Dr Tara berkata, kekerapan kes retinopati diabetes iaitu kerosakan pada retina akibat komplikasi penyakit diabetes di Malaysia menunjukkan peningkatan secara progresif daripada 44.1 peratus pada 1981 kepada 51.6 peratus dalam satu kajian pada 2005, dan lebih tinggi lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Angka itu juga lebih tinggi berbanding negara-negara lain seperti United Kingdom 22.7 peratus atau Jepun 39.6 peratus. Contoh paling membimbangkan ialah retinopati diabetes, iaitu penyakit diabetes yang boleh menjejaskan retina.

"Perkara ini menimbulkan dua ancaman kepada penglihatan iaitu pendarahan dalaman retina atau tisu yang lembut membengkak yang dikenali sebagai pendarahan bola mata atau pendarahan vitreous dan edema makula," katanya.

Katanya, edema makula iaitu bengkak pada bahagian tengah retina dan pendarahan vitreous yang membabitkan pendarahan dalam bahagian mata seperti gel, adalah dua komplikasi kritikal retinopati diabetes yang boleh mengancam penglihatan.

"Retinopati diabetes boleh menyusup secara senyap tanpa amaran awal. Dalam satu kajian terkini, 29.2 peratus daripada pesakit diabetes tahap dua di Malaysia dikesan mempunyai retinopati ketika pemeriksaan mata kali pertama.

"Pentingnya seseorang itu untuk mendapatkan nasihat pakar mata tanpa menunggu sehingga munculnya simptom. Lebih baik untuk tidak menangguhkan pemeriksaan mata sehingga masalah muncul. Mereka yang didiagnos menghidap penyakit diabetes sepatutnya mengamalkan pemeriksaan mata dari semasa ke semasa," katanya.

Katanya, perkara itu termasuk penilaian menyeluruh ke atas retina yang boleh dilakukan dengan mengembangkan anak mata (pupil dilation) atau menggunakan kamera retina terkini yang tidak memerlukan pengembangan anak mata.

"Pemeriksaan kesihatan berkala penting untuk pengesanan awal diabetes terutama bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga. Apabila seseorang pesakit disahkan mengidap diabetes, penting untuk individu itu menjalani pemeriksaan mata setiap tahun walaupun tidak mempunyai sebarang masalah.

"Diabetes yang dipantau dengan baik penting untuk mengurangkan risiko retinopati diabetes. Memantau tahap HbA1C adalah penting, dengan sasaran yang disyorkan di bawah skor 7.5," katanya.

Jelasnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, perkhidmatan saringan dan ujian semakin banyak tersedia. Kebanyakan hospital swasta dan pusat kesihatan kerajaan mengguna pakai teknologi ini menjadikan saringan dapat dipercepatkan dan dilakukan dengan mudah.

"Sekiranya mereka menjalani latihan yang betul, pakar optometris dan kakitangan paramedikal boleh menjalankan pemeriksaan dan merujuk individu kepada pakar oftalmologi apabila perlu.

"Bagi pesakit di fasa pra-diabetes, komplikasi kepada penglihatan ini secara umumnya tidak menjejaskan mereka. Pesakit masih berpeluang untuk mengelakkan penyakit diabetes dengan sepenuhnya dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan serta mengekalkan paras gula dalam darah," katanya.

Mengulas mengenai rawatan katanya, rawatan sistemik termasuk kawalan diabetes, pengurusan tekanan darah dan kolestrol. Suntikan Intra-Vitreal termasuk agen anti-VEGF, yang berkesan menangani pembengkakan dan pendarahan retina terutamanya dalam diabetes edema makula.

"Rawatan laser digunakan dalam kes-kes pendarahan vitreous atau retinopati proliferatif yang teruk bagi menahan atau mengurangkan pendarahan mata. Kemajuan dalam rawatan ini terutamanya dalam penggunaan suntikan anti-VEGF menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

"Kejayaan rawatan bergantung pada usaha pesakit yang memahami dan mematuhi pengurusan diabetes serta melakukan pemeriksaan mata secara berkala. Pilihan rawatan bergantung kepada keadaan dan tahap serius setiap individu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 7:00 AM