PANEL jemputan berkongsi berkenaan kesihatan emosi dan mental.
PANEL jemputan berkongsi berkenaan kesihatan emosi dan mental.
Muhamaad Razis Ismail


PENYAKIT mental meninggalkan kesan buruk dalam kalangan masyarakat kerana hampir setiap minggu kes bunuh diri dilaporkan media.

Malah ada sanggup membunuh ahli keluarga disebabkan tekanan.

Terdapat perlakuan aneh anak dikongsi menerusi media sosial akibat kesan buli. Percayalah, masih banyak kejadian seumpamanya tidak dilaporkan malah ada yang terlepas pandang.

Statistik menunjukkan 29 peratus daripada jumlah populasi negara mengalami masalah gangguan mental. Sakit mental juga menjadi penyakit kedua terbesar di Malaysia selepas sakit jantung.

Nisbah satu pertiga rakyat Malaysia mengalaminya. Lebih membimbangkan remaja berusia 16 hingga 19 tahun dari kalangan keluarga berpendapatan rendah yang banyak mengalami masalah ini.

Dipercayai kejadian cemuhan fizikal semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat.

Pengarah Eksekutif Kumpulan, World Trade Centre Kuala Lumpur, Malaysia (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, statistik ini jelas sekali membimbangkan dan membuka mata kita bahawa penyakit mental adalah satu daripada punca utama yang menjejaskan kira-kira 2.3 juta orang pada satu-satu masa.

"Jadi ketahuilah, jika anda turut terkesan, dengan tekanan mental, anda tidak bersendirian," katanya ketika berucap pada program 'I Embody Me' baru-baru ini.

PENGUNJUNG yang memeriahkan program ‘I Embody Me’ baru-baru ini.
PENGUNJUNG yang memeriahkan program ‘I Embody Me’ baru-baru ini.

Acara I Embody Me diadakan pada setiap bulan bermula Januari sehingga Oktober secara virtual dan fizikal bertujuan memberi kesedaran sekali gus mendidik masyarakat mengenai keburukan cemuhan fizikal. Inisiatif ini semestinya mahu mendekati mangsa dan menepis sifat negatif masyarakat mengenai saiz tubuh badan, rupa paras dan warna kulit.

Mangsa cemuhan fizikal pula akan mengalami tekanan perasaan yang membawa kepada penyakit mental, sehingga ada segelintir mangsa yang terdorong membunuh diri.

Sesi bual bicara 'I Embody Me' adalah salah satu cara kami menenangkan perasaan mereka yang terkesan daripada cemuhan fizikal ini.

Mengulas lanjut, matlamat WTCKL adalah untuk memberi kesedaran dan pemahaman mengenai penyakit mental, cabaran yang berkaitan dengannya dan bantuan yang disediakan oleh pelbagai organisasi.

"Sudah terlalu lama, penyakit mental dihantui stigma, menjadikannya subjek tabu dalam masyarakat kita. Inilah masa yang sesuai untuk membongkar kebenaran di sebalik isu kesihatan mental," katanya.

Justeru WTCKL, secara aktif mempromosi kesejahteraan inisiatif kesihatan mental ini bermula dalam kalangan kakitangannya. Irmohizam meminta semua warga WTCKL untuk menjaga kesejahteraan mental seiring dengan kecergasan fizikal kerana kedua-duanya adalah sangat penting dan dapat meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan.

"Saya menggesa setiap daripada anda untuk mengambil serius mengenai kesihatan mental masing-masing. Marilah kita bersama-sama memecahkan halangan, menghilangkan stigma, dan memupuk persekitaran yang merangkumi kesihatan mental," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 6:44 AM