AKTIVITI rekreasi air boleh disertai pengunjung.
AKTIVITI rekreasi air boleh disertai pengunjung.
Nurul Husna Mahmud


PULAU Manukan adalah pulau kedua terbesar daripada lima pulau dalam Taman Laut Negara, Taman Tunku Abdul Rahman.

Pulau terbabit paling popular bagi destinasi pulau terletak tidak jauh dari Kota Kinabalu, Sabah iaitu mengambil masa 30 minit dari Jeti Jesselton.

Dikatakan pulau terbabit antara pulau termaju berdasarkan kemudahan pelancongan iaitu chalet, rumah kelab, restoran dan pusat rekreasi termasuk aktiviti menyelam yang beroperasi di pulau terbabit.

Tidak hairanlah kunjungan pelancong dari Semenanjung menyasarkan lawatan ke pulau itu antara lokasi tarikan wajib dikunjungi di Kota Kinabalu.

Seorang pengunjung dari Batu Berendam Melaka, Hamiza Abd Rahim berkongsi pengalaman bukan sahaja 'bermain air,' malah bermalam di salah satu resort popular di pulau itu.

Kata Hamiza, pemandangan di Pulau Manukan cukup mendamaikan iaitu lautan, selain dengan latar kehijauan kerana pulau itu turut memiliki hutannya tersendiri.

"Rancangan awal memang sampai sahaja Pulau Manukan mahu terus sahaja melakukan aktiviti snokeling, tetapi dinasihati kakitangan resort Sutera Sactuary Lodges tempat kami bermalam supaya menangguhkan sahaja aktiviti keesokan harinya.

"Kata mereka, ia bagi mengelak terkena landak laut yang lebih banyak muncul ketika petang hari. Rasionalnya, kalau air surut landak laut lebih mudah muncul.

HAMIZA ketika di Pulau Manukan.
HAMIZA ketika di Pulau Manukan.

"Kami tangguhkan aktiviti snokeling dan menikmati aktiviti berjalan di pantai dan melewati pulau sahaja. Menjelang senja kami nikmati suasana senja di pulau cukup indah," katanya.

Menerangkan suasana pantai atau pulau ketika itu, kata Hamiza, Pulau Manukan agak meriah dengan kunjungan orang dari tanah besar untuk melakukan aktiviti rekreasi air.

"Pulau ini ketika kunjungan rombongan saya, suasana siangnya agak meriah kerana musim cuti sekolah.

"Masa menunggu untuk giliran menaiki bot agak panjang dan perjalanan ke pulau kurang 30 minit.

"Rasa berbaloi kerana pemandangan pantai putih dan laut hijau kebiruan sangat menenangkan. Pendek kata 'healing' segala penat lelah bekerja apabila dapat bercuti di pulau terbabit," katanya.

 JETI pintu masuk ke Taman Laut.
JETI pintu masuk ke Taman Laut.

Menginap di pulau juga suatu pengalaman baru dan menyeronokkan apatah lagi tempatnya sangat cantik.

"Melengkapkan lagi ialah tempat kami menginap juga adalah resort dengan struktur kayu yang sangat cantik.

"Mengadap pula pemandangan laut terbentang. Destinasi ini sesuai untuk mereka gemarkan percutian dekat dengan alam semula jadi atau sebagai destinasi romantis.

"Malamnya juga sepi dan sekali-sekala dengar bunyi ombak," katanya.

Sementara di luar pesisir Pulau Manukan ada terumbu karang yang sesuai untuk aktiviti menyelam terutama mereka gemar aktiviti skuba.

"Bagi 'kaki bergambar,' mereka boleh rakam panorama pagi dan senja. Di sini pagi dan senja lebih awal berbanding di Semenanjung.

"Sebaiknya rujuk staf atau orang tempatan untuk dapatkan kedudukan menarik dan masa tepat merakam panorama yang cantik.

KAWASAN penginapan Sutera Sanctuary Lodge .
KAWASAN penginapan Sutera Sanctuary Lodge .

"Aktiviti lain boleh juga disertai pengunjung adalah sukan rekreasi air seperti 'parasailing', 'seawalking' atau bermandi-manda di laut," katanya.

Saranan Hamiza, bagi mereka merancang untuk bermalam, sebaiknya rancang bekalan makanan termasuk snek tengah malam selain ubat-ubatan ringan untuk bekalan sendiri.

"Cumanya persiapkan keperluan untuk diri sendiri atau snek tambahan untuk kudapan ketika lapar kerana 'harga' atau barang terjual di kedai serbaneka di pulau itu jauh lebih 'tinggi' berbanding di tanah besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 7:00 AM