PEMANDANGAN menarik di puncak bukit Pulau Bohey Dulang.
PEMANDANGAN menarik di puncak bukit Pulau Bohey Dulang.
Fuad Hadinata Yaacob


KEKAYAAN hidupan laut dan keindahan menakjubkan di Semporna menjadi tarikan buat sekumpulan sahabat meneroka khazanah alam di Negeri Di Bawah Bayu, baru-baru ini.

Sepanjang lima hari berada di daerah yang menawarkan alam semula jadi tidak tercemar selain menjadi antara lokasi menyelam terbaik di dunia itu, enam pulau dijelajahi kumpulan berkenaan.

Pulau itu ialah Pulau Timba Timba, Pulau Pom Pom, Pulau Mataking, Pulau Bohey Dulang, Pulau Sibuan dan Pulau Mantabuan.

Ada antara pulau itu terletak di Taman Marin Tun Sakaran yang diwartakan pada 2004.

Penat menempuh perjalanan hampir empat jam untuk tiba di Semporna hilang selepas mengunjungi dan melakukan aktiviti di pulau terbabit.

Wakil kumpulan, Norshahidah Abdul Rahim, 32, menyifatkan kunjungan ke destinasi pelancongan terkenal di Sabah itu umpama 'syurga' dunia buat mereka.

"Air laut bersih dan jernih dengan kekayaan hidupan laut unik nyata memukau pandangan ditambah dengan keindahan alam di situ.

"Pertama kali mengunjungi semua pulau itu menghadirkan momen indah dalam hidup kami," katanya.

Katanya, pulau pertama dikunjungi adalah Pulau Pom Pom yang terletak 45 minit dari Semporna.

Nama pulau itu dikatakan sempena nama pokok pom pom yang tumbuh meliar sekali gus menjadi simbol pulau terbabit.

NORSHAHIDAH (empat dari kanan) bersama rakan di pintu gerbang ke Pulau Bohey Dulang.
NORSHAHIDAH (empat dari kanan) bersama rakan di pintu gerbang ke Pulau Bohey Dulang.

Norshahidah berkata, pulau itu adalah destinasi terbaik untuk berehat dan melapangkan fikiran kerana pemandangannya sangat indah dan menarik.

"Kami melakukan aktiviti menyelam skuba di sini dan pelbagai hidupan marin boleh dilihat terutama ikan.

"Pulau ini dikelilingi terumbu karang dan pemandangan dasar laut sangat cantik serta mengujakan," katanya.

Di pulau itu juga katanya, terdapat beberapa resort termasuk di atas air yang menjanjikan pengalaman berbeza.

"Kami difahamkan pulau ini juga menjadi lokasi penetasan telur bagi spesies penyu hijau dari April hingga November setiap tahun," katanya.

AKTIVITI menyelam antara yang wajib dilakukan ketika mengunjungi pulau di Sabah.
AKTIVITI menyelam antara yang wajib dilakukan ketika mengunjungi pulau di Sabah.

Selepas Pulau Pom Pom, mereka meneroka pula Pulau Mataking dan Pulau Timba Timba.

Pulau Mataking tidak jauh dari Pulau Pom Pom dan di situ terdapat chalet mewah untuk penyelam yang mengunjungi Pulau Sipadan.

Malah Pulau Timba Timba turut menjadi tumpuan kerana mempunyai pemandangan pantai yang menarik dan di sini juga tempat penetasan penyu.

Di pulau ini boleh ditemui hidupan marin unik seperti ikan katak, ular laut serta pelbagai spesies ikan yang bersembunyi di sebalik terumbu karang.

KEINDAHAN pulau di Sabah menjadi tumpuan pelancong.
KEINDAHAN pulau di Sabah menjadi tumpuan pelancong.

Kunjungan ke pulau itu tidak lengkap jika tidak menjelajah Pulau Bohey Dulang, Pulau Sibuan dan Pulau Mantabuan yang tidak jauh antara satu sama lain.

Bagi penggemar aktiviti mendaki, Pulau Bohey Dulang adalah lokasinya kerana ia mempunyai puncak bukit 700 meter dari aras laut.

"Dari puncak, kami menikmati pemandangan indah laut membiru dan tumbuhan hijau," katanya.

Pulau Sibuan pula antara pulau yang terkenal dengan keindahan dan kecantikan pemandangan bawah laut.

Pulau itu kira-kira 30 minit perjalanan menaiki bot dari bandar Semporna dan ia mempunyai pantai bersih dan cantik dengan bahagian tengah dipenuhi pokok kelapa.

ANTARA pulau yang terdapat di Semporna.
ANTARA pulau yang terdapat di Semporna.

Di pulau itu juga, antara aktiviti sering dilakukan termasuk menyelam skuba dan berenang kerana airnya jernih serta mempunyai pasir putih.

Sementara itu, Pulau Mantabuan adalah pulau terakhir dikunjungi mereka dan menariknya di pulau itu terdapat perkampungan suku Bajau Asli di sepanjang pesisiran pantai.

Bagaimanapun, di sini tiada kemudahan penginapan, namun terdapat kedai runcit untuk membeli makanan dan minuman sambil berehat di tepi pantai.

Norshahidah berkata, terdapat anggota keselamatan negara mengawal di sekitar Pulau Mantabuan dan Sibuan bagi memastikan keselamatan pengunjung.

Katanya, kunjungan ke 'syurga' dunia itu terasa singkat malah mereka merancang untuk kembali semula buat kali kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 7:00 AM