STREET Port Cafe menawarkan hidangan tempatan berpatutan.
STREET Port Cafe menawarkan hidangan tempatan berpatutan.
Nurul Husna Mahmud


PERCUTIAN Hayati Sahimi dan ahli keluarganya menjadi detik paling indah ketika menjelajah tiga negeri di sebelah utara tanah air baru-baru ini.

Menariknya percutian berkenaan disertai lebih 15 ahli keluarga sebelah suaminya termasuk ibu bapa mentua untuk melawat lokasi unik setiap negeri.

Kata Hayati, meskipun berasal dari Perak, masih banyak lokasi di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang tidak pernah dikunjungi.

"Percutian ini adalah perbincangan dengan adik-beradik sebelah suami untuk merancang percutian keluarga beramai-ramai.

"Maklumlah pandemik Covid-19 apabila tidak dapat berkumpul ramai-ramai dan bercuti menyebabkan kesempatan iaitu cuti umum baru-baru ini kami pergi ke negeri sebelah utara.

"Ada rakan juga yang mencadangkan banyak tempat menarik boleh dikunjungi seperti Wang Kelian di Perlis yang dikatakan 'syurga' membeli-belah perlu dikunjungi," katanya.

PERCUTIAN keluarga menjelajah utara tanah air.
PERCUTIAN keluarga menjelajah utara tanah air.

Dalam percutian tiga hari dua malam itu, kata Hayati, tiga kenderaan bergerak secara berkonvoi ke destinasi yang dirancang.

"Percutian ini ada 'mesyuarat' keluarga untuk 'spot' lokasi mana perlu dituju bagi mengelak waktu terbuang begitu sahaja.

"Apatah lagi kenderaan bergerak secara berasingan, jadi kena kenal pasti dahulu mana lokasi sesuai dengan masa untuk mengoptimumkan pengalaman percutian kali ini.

"Setiap negeri ada tempat sudah ditentukan dalam senarai wajib sampai termasuk di ladang harum manis di Perlis, Muzium Padi dan Gunung Jerai, di Kedah dan Nasi Kandar Beratur di Pulau Pinang," katanya.

LADANG harum manis antara mesti dilawati pengunjung.
LADANG harum manis antara mesti dilawati pengunjung.

Persiapan lain, kata Hayati, dia dan keluarga menempah inap desa untuk memudahkan keluarga bergerak serta berkumpul.

"Kami menginap di inap desa dan ia lebih mudah kerana dalam kumpulan besar.

"Kami juga membuat persiapan seperti penyediaan bahan mentah untuk memasak dibantu operator inap desa itu memudahkan urusan percutian kali ini.

"Malah, kami hanya menikmati makan di luar di Street Port Cafe di Kedah dan Nasi Kandar Beratur. Setakat ini bagi sajian tempatan terutama di Kedah, harganya sangat berpatutan dan memenuhi cita rasa kami sekeluarga," katanya.

HAYATI di Muzium Padi di Alor Setar, Kedah.
HAYATI di Muzium Padi di Alor Setar, Kedah.

Mengenai pengalaman tidak boleh dilupakan sepanjang percutian kali ini, kata Hayati, memandu menuju Gunung Jerai antara kenangan paling mengujakan.

"Walaupun mendaki Gunung Jerai dengan menggunakan kenderaan mendebarkan, semua cabaran itu suatu yang berbaloi.

"Pemandangan di kawasan Gunung Jerai Resort sangat menarik apatah lagi dihiasi bunga hydrangea yang mekar mewarnai setiap kawasan di gunung terbabit.

"Biasanya suasana ini hanya dapat dilihat di pusat peranginan tanah tinggi popular seperti Cameron Highlands atau Bukit Fraser, Pahang.

"Mungkin kelainan di Gunung Jerai ialah boleh melihat pemandangan laut dan pulau dari puncak gunung," katanya.

PEMANDANGAN di kawasan Gunung Jerai Resort.
PEMANDANGAN di kawasan Gunung Jerai Resort.

Dia merancang berkunjung lagi dan menginap pula di puncak gunung itu bagi menikmati suasana tenang dan damai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 6:10 AM