Panorama kawasan air terjun ATJM.
Panorama kawasan air terjun ATJM.
Oleh Mohd Norfitry Md Yusoff
rencana@hmetro.com.my


SEBELUM ini, Kijal, Terengganu cukup sinonim dengan Pantai Penunjuk yang memiliki keindahan semula jadi sehingga berjaya menarik perhatian pelancong di dalam mahupun luar negara.

Namun tahukah anda di sebalik pekan kecil ini terdapat satu lokasi menarik yang dinamakan Air Terjun Janda Mandi (ATJM).

Keunikkannya bukanlah terletak pada nama tapi lokasi dan keindahan air terjun itu sendiri.

Baru-baru ini, penulis berpeluang untuk melihat sendiri keindahan air terjun yang terletak di Kampung Telok Kalong ini.

Menariknya, air terjun ini mengalir terus ke dalam laut melalui struktur batu semula jadi yang terdapat di sini.

Lokasi ATJM adalah di sebalik kawasan Bukit Gemuk dengan ketinggian melebihi 500 meter dari paras laut. Namun puncak dan air terjun ini terletak pada kedudukan berbeza.

Perjalanan ke ATJM dianggarkan mengambil masa lebih 30 ke 40 minit bergantung kepada keadaan cuaca.

KEINDAHAN semula jadi sepanjang perjalanan ke ATJM.
KEINDAHAN semula jadi sepanjang perjalanan ke ATJM.

LAUT yang terletak berhampiran ATJM.
LAUT yang terletak berhampiran ATJM.

Perjalanan ke sana tidak terlalu sukar cuma perlu lebih berhati-hati kerana terdapat beberapa cerun bukit yang biasanya agak licin ketika hujan.

Untuk sampai ke lokasi air terjun, anda perlu mendaki tiga anak bukit dan merentasi anak sungai. Sebelum tiba ke destinasi, pengunjung perlu menyusuri laluan pantai yang berbatu.

Walaupun berdepan perjalanan mencabar, semuanya 'terbayar' sebaik anda menyaksikan sendiri keunikan air terjun ini.

Melihat air terjun yang terus mengalir ke laut adalah satu pengalaman menakjubkan.

Tidak lengkap rasanya ke sini, sekiranya anda tidak menikmati kedinginan ATJM yang segar selain amat sesuai untuk bermandi manda.

Selain lokasinya yang unik, air terjun ini juga dikelilingi hutan dan tumbuhan semula jadi pantai.

Berdasarkan pengamatan penulis, air terjun ini mungkin mengalir deras ketika musim hujan atau tengkujuh di pantai timur dan mungkin akan kering pada musim kemarau memandang keluasan aliran sungai yang sempit dari bukit.

DIKELILINGI hutan dan tumbuhan semula jadi.
DIKELILINGI hutan dan tumbuhan semula jadi.

Bagi mereka yang berhajat ke sana dan ingin dapatkan khidmat pandu arah serta informasi berkaitan ATJM, boleh merujuk kepada Facebook (FB) Air Terjun Janda Manda untuk maklumat lanjut.

Menerusi laman sosial itu, turut dikongsikan beberapa maklumat penting untuk keselamatan pengunjung antaranya dilarang naik ke tingkat satu air terjun untuk mandi kerana licin.

Pengunjung juga dilarang mandi di pesisir laut kerana struktur batuan dan ombak bergelora yang boleh membahayakan keselamatan.

Apapun sebelum ke lokasi, eloklah anda maklumkan kehadiran kepada pihak yang menjaga kawasan, supaya keselamatan dapat dipantau.

Jadilah pendaki bertanggungjawab dan mementingkan aspek keselamatan bersama. Jaga kebersihan khazanah alam!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 6:33 AM