MAKAN lokan bakar di Pulau Suri. FOTO Muhamaad Razis Ismail & Mohd Fakri Awang Lah
MAKAN lokan bakar di Pulau Suri. FOTO Muhamaad Razis Ismail & Mohd Fakri Awang Lah
Muhamaad Razis Ismail

PADA mulanya penulis agak keberatan untuk menerima pelawaan seorang rakan bagi sertai aktiviti berkayak ke Pulau Suri, Tumpat.

Pulau Suri adalah salah satu daripada 100 pulau yang terdapat di Tumpat yang cukup dikenali sebagai destinasi pelancongan di Kelantan.

Di sini terdapat 10 bot penambang disediakan menjual makanan dan minuman yang mampu menarik tumpuan penduduk setempat atau pengunjung luar.

Konsep jualan yang dibuat seakan-akan pasar terapung di Thailand itu menghimpunkan pelbagai jualan, khususnya yang hanya terdapat di sekitar perkampungan pulau termasuk jeli kelapa, gula melaka, madu, nasi berlauk pagi, aneka kuih tradisional dan kerabu nipah.

Pelancong yang mahu berkunjung ke Pasar Terapung Pulau Suri boleh berbuat demikian dengan menaiki bot di Jeti Kok Majid, di Tumpat dengan tempoh perjalanan 40 minit dan jeti Kuala Besar di sini yang hanya mengambil masa 15 minit.

Namun kali ini, kami ingin membuat kelainan dengan menaiki kayak ke pulau ini.

MELAWAN arus di Jeti Kuala Besar. FOTO Muhamaad Razis Ismail & Mohd Fakri Awang Lah
MELAWAN arus di Jeti Kuala Besar. FOTO Muhamaad Razis Ismail & Mohd Fakri Awang Lah

Penulis sedikit bimbang kerana sudah lama tidak sertai aktiviti ini kerana kekangan masa selepas kali terakhir berbuat demikian ketika masih menuntut di universiti 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas 'diracun' kononnya aktiviti kayak ini lebih santai dan tidak membabitkan perjalanan yang jauh, penulis pun bersetuju.

Tanpa persediaan fizikal dan mental, penulis dengan yakin keluar rumah seawal jam 8 pagi bertemu rakan di tempat yang dijanjikan di Medan Ikan Bakar Kampung Pulau Pisang, Kota Bharu.

Apabila tiba di sana, beberapa rakan termasuk jurupandu yang dikenali sebagai Abe Lan sudah sedia menanti sebelum kami terus ke Pulau Kundur yang terletak satu kilometer dengan melalui jalan kampung.

Selepas tiba, kami membuat sedikit senaman memanaskan badan sebelum menurunkan kayak dalam sungai.

Permulaan perjalanan, kami seramai 10 orang membabitkan lima kayak menyelusuri kuala sungai yang agak tenang.

BEREHAT di beting pasir sebelum teruskan perjalanan. FOTO Muhamaad Razis Ismail & Mohd Fakri Awang Lah
BEREHAT di beting pasir sebelum teruskan perjalanan. FOTO Muhamaad Razis Ismail & Mohd Fakri Awang Lah

BEREHAT di Pulau Rejuna. FOTO Muhamaad Razis Ismail & Mohd Fakri Awang Lah
BEREHAT di Pulau Rejuna. FOTO Muhamaad Razis Ismail & Mohd Fakri Awang Lah

Sekali sekala kami berselisih dengan bot nelayan yang dalam perjalanan untuk menangkap ikan di laut.

Dalam perjalanan itu, kami dapat melihat rumah nelayan berada di tepi sungai.

Terdapat juga kanak-kanak sedang mengail ikan dan bermandi-manda.

Selepas hampir 15 minit mendayung, kami melalui kawasan jeti Kuala Besar yang menjadi kawasan pendaratan ikan.

Di sini kami perlu mengerah tenaga untuk menyeberang kawasan itu untuk mengelakkan daripada ditarik ombak selain perlu berhati-hati kerana terdapat banyak bot nelayan.

Kami mengambil masa 15 minit untuk melepasi kawasan itu sebelum sampai di sungai yang agak tenang.

SEBELUM memulakan perjalanan. FOTO Muhamaad Razis Ismail & Mohd Fakri Awang Lah
SEBELUM memulakan perjalanan. FOTO Muhamaad Razis Ismail & Mohd Fakri Awang Lah

Selepas itu, kami berkayak kira-kira lima minit kemudian di Pasar Terapung Pulau Suri yang dipenuhi pengunjung yang datang dengan bot.

Kami berehat sebentar sambil menikmati pelbagai makanan tradisional yang dijual di situ.

Sebaik selesai menikmati makan tengah hari di Pulau Renjuna, sekitar jam 12 tengah hari kami bertolak pulang.

Untuk pulang, kami sekali lagi perlu mengerah tenaga untuk melawan arus bagi melepasi kawasan jeti Kuala Besar.

Di sini kami terpaksa berhempas pulas kerana pada ketika itu arus sangat kuat menarik kami ke laut.

Pada masa sama, dua kapal besar yang berlabuh di kawasan jeti itu dilihat seperti bergerak menuju ke arah kami sedangkan pada ketika itu kami ditarik arus.

Alhamdulillah, selepas 20 minit, kami semua berjaya melepasi kawasan itu dengan selamat.

Cabaran tidak berakhir di situ apabila kami terpaksa berkayak dalam keadaan hujan lebat selama 10 minit sebelum selamat tiba di Pulau Kundur.

Bagi penulis ia antara pengalaman menarik dan aktiviti berkayak ke Pasar Terapung Pulau Suri boleh dikomersialkan sebagai tarikan pelancongan baharu di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 7:00 AM