TARIAN Ngajat yang melatih orang-orang Iban berperang.
TARIAN Ngajat yang melatih orang-orang Iban berperang.
Zaitie Satibi


KEINDAHAN flora dan fauna meletakkan Sarawak antara destinasi unik untuk dikunjungi. Hutan hujannya antara tertua di dunia yang kaya dengan kepelbagaian biologi menjadi aset penting Bumi Kenyalang, sekali gus habitat kepada ribuan spesies tumbuhan dan haiwan.

Kewujudan taman negara yang banyak, membuka peluang pelancong menikmati habitat semula jadi berkenaan serta tarikan lain seperti gunung, paya bakau, air terjun, gua, pantai dan tanah tinggi.

Malah, pelancong juga boleh menjalankan pelbagai aktiviti meneroka keindahan hutan atau menaiki bot menyusuri sungai dan lautan. Mendaki gunung dan menjelajah gua turut menjadi aktiviti popular di Sarawak.

Namun, bukan saja kehidupan alam semula jadi yang dipelihara dengan baik dapat anda saksikan malah Sarawak turut menawarkan banyak tarikan untuk pelancong.

Kepelbagaian etnik di negeri ini yang masih mengekalkan gaya hidup tradisional sudah tentu mewujudkan pelbagai budaya dan adat resam yang unik.

Biarpun terdapat 30 etnik berlainan, secara kolektifnya kumpulan etnik utama di Sarawak adalah Iban, Dayak, Bidayuh dan Orang Ulu.

Antara keistimewaan dapat dilihat seperti pakaian, kraf tangan, makanan, gaya hidup, tarian dan kediaman tradisi pelbagai etnik berbeza.

Malah, Sarawak turut dikenali dengan keunikan bunyi-bunyian daripada alunan instrumen tradisional pelbagai etnik.

Sehubungan itu, pelancongan muzik juga satu daripada tarikan untuk ke Sarawak. Tidak hairanlah apabila acara kesenian muzik yang diadakan sempena pesta sambutan perayaan etnik tertentu mampu meraih bilangan pelancong yang banyak setiap tahun.

Tidak lengkap alunan muzik tanpa lenggok tubuh mengiringi rentak. Terdapat pelbagai jenis tarian tradisional di Sarawak, antaranya ngajat, koncong dan datun julud yang sering ditarikan pada musim perayaan suku kaum.

Tarian ngajat sangat popular dan bagi orang Iban ia tarian yang melatih untuk berperang.

Penari akan memakai kain merah diikat pada pinggang hingga ke paras lutut.

Penari juga memakai topi dihias dengan bulu burung.

Menerusi cogan kata ‘Sarawak, Banyak Untuk Diteroka’ sempena kempen Tahun Melawat Sarawak 2019, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menekankan strategi meletakkan kedudukan negeri berkenaan sebagai tarikan pelbagai budaya, pengembaraan, alam sekitar, makanan dan perayaan yang sedia untuk diteroka.

STB turut berpeluang memperkenalkan elemen utama Sarawak kepada pemain industri dalam satu penganjuran makan malam yang dihadiri 1,000 delegasi dari seluruh dunia sempena seminar Pelancongan Dunia anjuran Organisasi Pelancongan Dunia Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di ibu negara, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor berkata, kempen Tahun Melawat Sarawak kali ini berbeza daripada sebelumnya berikutan ia akan dijalankan selama beberapa tahun dan 2019 akan menjadi tahun yang mengujakan bagi Sarawak kerana banyak acara menarik dirancang bukan hanya berlangsung di sekitar bandar, malah turut diadakan di kawasan luar bandar.

“Sarawak memiliki banyak khazanah tersembunyi yang menunggu untuk diteroka dan seminar ini adalah platform terbaik untuk kami berkongsi kepada dunia mengenai destinasi menarik itu. Bagi pelancong yang ingin mengenali lebih rapat kepelbagaian budaya yang terdapat di Sarawak, boleh berkunjung ke negeri ini,” katanya.

Majlis makan malam yang diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan etnik utama di Sarawak dan sajian makanan tradisi seperti laksa Sarawak, ayam pansoh dan kek lapis Sarawak turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi; Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengerusi STB, Datuk Abdul Wahab Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 10:41 AM