GUA Niah
GUA Niah
Sarawak

HAMPIR segala-galanya yang unik ada di Sarawak. Sesuai dengan slogan ‘More to Discover’ oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), itulah jaminan yang mampu diberikan kepada tetamu yang berkunjung ke Bumi Kenyalang, tidak kira dari dalam mahupun luar negara.

Boleh dikatakan setiap inci bumi Sarawak yang seluas 124, 450 kilometer persegi itu ada keistimewaan tersendiri, merangkumi kebudayaan, pengembaraan, alam semula jadi, juadah dan festival kesenian.

Ini dibuktikan dengan kejayaan cemerlang video dokumentari ‘Why Limit Yourself’ terbitan STB yang menang Anugerah Emas (Kategori Pemasaran Media) dalam PATA Travel Mart 2019 di Astana, Kazakhstan, baru-baru ini.

Video sepanjang 2 minit 31 saat itu menonjolkan pengalaman manis sekumpulan anak muda meneroka keindahan bumi Sarawak yang selayaknya dikelaskan sebagai destinasi pelancongan terbaik.

Melihat sudut alam semula jadi, bentuk muka bumi Sarawak sendiri sangat hebat dan antara yang tertua di dunia.

Bayangkan, di negeri ini sahaja ada lebih 45 taman negara merangkumi darat dan lautan. Antara yang terkenal adalah Taman Negara Bako, Taman Negara Mulu dan Taman Negara Niah.

RUMAH Panjang
RUMAH Panjang

Taman Negara Bako yang terletak 37 kilometer dari bandaraya Kuching adalah taman negara tertua di Sarawak.

Terletak di Semenanjung Muara Tebas dan diwartakan sejak 1957 ia cukup istimewa kerana pantainya yang indah dengan pulau berlekuk yang unik. Kita juga boleh melihat banyak haiwan di pinggir hutannya seperti monyet Belanda berhidung besar dan biawak liar.

Taman Negara Mulu berhampiran Miri pula sangat menakjubkan kerana adanya Gunung Mulu setinggi 2.377 meter selain struktur batu-batu kapurnya yang runcing bak duri. Pelancong pasti terpegun melihat pemandangan ini selain gua-gua besarnya yang menjadi habitat kepada berjuta kelawar dan burung layang-layang.

Tidak hairanlah taman negara ini diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2000.

Lebih gah lagi, Taman Negara Niah cukup tersohor dengan tinggalan pra sejarahnya iaitu Gua Niah iaitu gua terbesar di Malaysia dan antara gua batu kapur terbesar di dunia.

Ia terletak 90 kilometer dari Miri, Sarawak dan membuktikan wujudnya kehidupan awal manusia purba di kawasan itu sekitar 65,000 tahun lalu. Pastinya anda tidak menyesal kalau ke gua yang sangat mempesonakan ini.

Bagi penggemar sukan esktrem, Gunung Murud yang terletak di Limbang di Tanah Tinggi Kelabit adalah pilihan ideal. Puncaknya setinggi 2,424 meter adalah gunung tertinggi di Sarawak dan kelima tertinggi di Malaysia.

SARAWAK River Cruise
SARAWAK River Cruise

Pengembaraan anda untuk mendaki akan bermula dari Ba’Kelalan hinggalah ke puncak Murud dan berakhir di Bario.

Gunung Santubong walaupun tidak terlalu tinggi (810 meter) tetap indah kerana lokasinya yang menawan di Semenanjung Buntal, kira-kira 35 kilometer dari Kuching.

Auranya terserlah kerana lagenda menyatakan ia terjadi daripada sumpahan ke atas seorang puteri kayangan bernama Puteri Santubong yang bergaduh dengan saudaranya, Puteri Sejinjang. Cerita ini turut tergambar dalam lagu rakyat popular, Puteri Santubong.

Gunung ini amat sesuai untuk didaki dan mempunyai trek khas ke puncaknya dengan 15 ‘checkpoint’.

Taman Negara Gunung Gading berhampiran Lundu pula menjadi tempat tumbuhnya bunga terbesar di dunia iaitu Rafflesia.

Bunga gergasi ini sangat unik kerana hanya mekar pada musim hujan dan boleh membesar sehingga satu meter lebar. Sewaktu mengembang, ia akan mengeluarkan bau yang kuat bagi memerangkap serangga.

Memang sukar untuk kita bertemu Rafflesia namun kalau bernasib baik, kita akan dapat melihat sendiri bunga ini di Gunung Gading. Secara kasarnya, dianggar ada lebih 2,000 spesies pokok di Sarawak bersama 1,000 spesies orkid dan 757 spesies paku pakis. Negeri bertuah ini juga menjadi habitat kepada haiwan terancam seperti burung kenyalang, monyet Belanda serta orang utan.

LAKSA Sarawak
LAKSA Sarawak

Selain alam semula jadi, Sarawak juga gah di mata dunia kerana dibina dan dibangunkan dengan penuh harmoni oleh masyarakat pribuminya termasuklah Iban, Melayu, Melanau, Bidayuh, Orang Ulu dan Penan.

Semua kumpulan etnik ini memiliki bahasa, kebudayaan serta corak hidup tersendiri sejak zaman lampau, era pemerintahan James Brooke hingga merdeka.

Bagi kemudahan pelancong, beberapa rumah panjang yang didiami oleh masyarakat etnik itu boleh dilawati seperti Rumah Panjang Bidayuh Annah Rais dan di Rumah Panjang Iban Batang Ai.

Di sini kita boleh melihat budaya dan cara hidup mereka setiap hari yang begitu damai dan tenang.

Kalau tidak ke sana, boleh melawat satu destinasi popular iaitu Sarawak Cultural Village seluas 17 ekar, berhampiran Damai Beach Resort.

Ia menempatkan replika banyak rumah kaum etnik Sarawak di dalam satu kawasan rekreasi. Kalau ke sini, anda boleh merasai sendiri pelbagai kebudayaan Sarawak seperti pemakaian kostum, membuat juadah tradisi di samping mencuba permainan sumpitan, gasing atau menari bersama kumpulan kebudayaan yang membuat persembahan setiap hari.

Kalau terasa mahu mengambil angin petang sambil melihat kehidupan masyarakat tempatandi pesisiran sungai serta matahari terbenam, jangan ragu-ragu mencuba Sarawak River Cruise.

Kapal dan botnya cantik dan selesa untuk bersantai dari Kuching Waterfront hinggalah ke beberapa petempatan di pinggir sungai.

Kata orang, kalau penat berjalan, jangan tidak menjamu selera kerana Sarawak menyajikan pelbagai juadah lazat seperti Nasi Beras Bario, Manok Pansuh, Laksa Sarawak, Mi Kolok, Manok Kacangma, Umai dan Midin Belacan. Semuanya ada disajikan di restoran serta medan selera di bandar-bandar utama.

SARAWAK Cultural Village (Rumah Bidayuh Baruk)
SARAWAK Cultural Village (Rumah Bidayuh Baruk)

Sarawak juga dikenali dengan penghasilan Kek Lapis Sarawak dengan aneka rasa dan nama seperti Sisik Ikan, Masam Manis dan Lapis India.

Dari sudut kesenian, Sarawak juga kaya dengan budaya mengikut kaum dan adat resam mereka. Kaum Melayu sering mempersembahkan tarian Senandung Sarawak, Zapin Sebat dan Joget Serampang Laut pada majlis keramaian sementara kaum Iban cukup terkenal dengan tarian Ngajat pahlawan.

Sambutan Hari Gawai Dayak 1 Jun setiap tahun selalunya meriah dengan acara seni dan tarian.

STB terus giat mempromosikan pelbagai festival muzik kontemporari di Sarawak. Antara yang sering dianjurkan saban tahun termasuk Rainforest World Music Festival, Borneo Jazz Festival dan Rainforest Fringe Festival.

Malah Rainforest World Music Festival yang berlangsung setiap Julai
di Sarawak Cultural Village memasuki tahun ke-22 penganjurannya. Terbaru adalah Miri Country Music Fest di Coco Cabana, Miri pada 22 - 23 November depan.

Apa yang jelas, kalau mahu diceritakan kehebatan Sarawak, ia memang tidak cukup ruang. Semuanya hanya akan dapat anda rasai sendiri jika melawat Bumi Kenyalang bersama keluarga, sahabat handai dan yang tersayang.

Jom kita ke Sarawak pada bila-bila masa kerana masih banyak lagi untuk diteroka!

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 3:02 PM