IKAN terubuk masin yang popular dan boleh dimasak dengan pelbagai resipi lazat.
IKAN terubuk masin yang popular dan boleh dimasak dengan pelbagai resipi lazat.

POPULARITI Sarawak di mata dunia sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa bukan lagi satu dongeng penglipur lara.

Antara simbol keunikan bumi Santubong ini ialah barisan rumah panjangnya yang didiami pelbagai suku kaum pribumi, anyaman tikar Sarawak, burung kenyalang yang terbang bebas di belantara dan gua terbesar di Malaysia, Gua Niah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Sharzede Datu Haji Salleh Askor, Sarawak yang kaya dengan flora dan faunanya sudah memukau jutaan pelancong asing menerusi hamparan landskap dimiliki selain budaya unik masyarakat yang berbilang bangsa.

Melalui usaha proaktif STB, pelancong bukan sahaja dapat melihat pelbagai keindahan alam semula jadi dan budaya tempatan, tetapi juga berpeluang menikmati aneka juadah tempatan yang istimewa lagi unik.

“Jika hendak dirangkumkan kehebatan makanan Sarawak, ia sangat unik bermula daripada beras Bario dari kawasan pergunungan hinggalah kepada ikan terubuk dari sungai serta persisiran pantai.

“Lebih daripada itu, beras Bario adalah beras wangi yang sangat berkualiti dan sudah lama diiktiraf sebagai antara beras terbaik di dunia.

KUIH bongkol dan celorot yang enak.
KUIH bongkol dan celorot yang enak.

“Ia ditanam secara organik di kawasan tanah tinggi kira-kira 1,000 meter dari aras laut dengan sistem perairan dari Sungai Arul Dalam, Sungai Arul Laab dan Sungai Paramoh,” katanya.

Selain hidangan nasi daripada beras Bario, antara juadah terkenal yang membentuk identiti Sarawak adalah manok pansuh, laksa Sarawak, mi kolok, manok kacangma, umai dan midin belacan.

Manok pansuh atau ayam pansuh adalah hidangan yang cukup sinonim dengan kaum Iban dan Bidayuh.

Ia berupa isi ayam yang digaul dengan hirisan bawang, serai, bunga kantan, daun kesom serta daun ubi kayu yang seterusnya dipanggang di dalam batang buluh. Juadah lazat ini menjadi lauk kegemaran yang disajikan pada hari perayaan seperti Gawai Dayak.

Laksa Sarawak pula sangat popular di segenap ceruk Bumi Kenyalang dan turut menjadi pilihan menu di banyak restoran di seluruh Malaysia.

Ia menggunakan bahan utama iaitu bihun, santan, bawang, taugeh, pes laksa, serai, isi ayam yang dicarik-carik, udang segar, limau kasturi dan daun ketumbar. Seterusnya, ia dimakan bersama hirisan telur goreng dan sambal belacan atau kadangkala sambal udang kering pedas.

UMAI menu wajib dicuba.
UMAI menu wajib dicuba.

Menariknya, ikon bidang masakan Anthony Bourdain juga pernah merasai keenakan laksa Sarawak dan menggelarnya sebagai sungguh lazat serta menyelerakan.

Juadah ini turut ditonjolkan dalam program beliau bertajuk No Reservation serta Parts Unknown terbitan CNN.

Jika di Kuching, laksa Sarawak boleh dinikmati di pelbagai kedai makanan antaranya Mom’s Laksa atau Madam Tang’s.

Selain itu, satu lagi makanan yang menjadi lambang bumi Kenyalang ialah mi kolok yang digemari semua lapisan masyarakat. Antara bahan yang diperlukan dalam penyediaannya adalah mi sanggul, daging, perencah sup, limau kasturi, serbuk lada hitam, kicap manis dan sawi segar serta lebih enak dimakan secara berkuah bersama sup daging yang panas.

Bagi mereka yang gemarkan ikan, pastinya ikan terubuk masin menjadi buah tangan wajib untuk dibawa pulang. Jika mahukan ikan terubuk segar biasa pula, ia boleh dibeli di pasar besar seperti Pasar Tamu Satok serta Kubah Ria, Petra Jaya, Kuching.

Makanan tradisi kaum Melanau diberi nama umai juga harus dicuba. Ia seakan kerabu yang mengandungi hirisan isi ikan mentah dicampurkan dengan bawang, cili, halia, garam dan perahan limau.

MANOK Pansuh, juadah kaum Iban dan Bidayuh.
MANOK Pansuh, juadah kaum Iban dan Bidayuh.

HIDANGAN pucuk midin bersama bawang, cili merah, ikan bilis dan belacan yang pasti menambat selera.
HIDANGAN pucuk midin bersama bawang, cili merah, ikan bilis dan belacan yang pasti menambat selera.

Sebut mengenai kuih-muih, Sarawak terkenal dengan penghasilan kek lapis Sarawak yang mempunyai aneka rasa serta nama seperti Sisik Ikan, Masam Manis dan Lapis India.

“Kek ini dibakar dengan api terkawal di bahagian atas selepas setiap lapisan dibuat menggunakan ketuhar khas dari Sarawak. Kek lapis boleh didapati di merata tempat di Kuching misalnya di Mira Cake House dan Dayang Salhah Kek Lapis di Petra Jaya.

“Pemanis mulut dan kuih lain yang popular adalah teh c peng, kuih bongkol, kuih celorot dan sagu gula apong.

“Pelancong boleh menikmati kepelbagaian hidangan ini di mana-mana cafe, restoran dan medan selera. Bagi yang suka membeli-belah, anda boleh singgah di medan selera berhawa dingin di dalam pusat beli-belah seperti The Spring Shopping Mall, Cityone Plaza, Merdeka Plaza, Boulevard Shopping Mall dan Vivacity Megamall,” katanya.

Kebiasaannya, juadah-juadah Melayu yang disajikan di Sarawak kurang pedas berbanding di Semenanjung. Pelbagai restoran Melayu boleh didapati di Kuching jika anda menyusuri Jalan Haji Taha, Jalan Semariang, Jalan Dagok, Jalan Santubong, Rubber Road, Kampung Boyan, Jalan Batu Lintang dan Petra Jaya.

Kafe lain juga ada berhampiran Jalan Carpenter, Padungan Road, Jalan Green Hill, Jalan India serta Lebuh Temple.

Seperkara yang nyata, pihak STB sentiasa menitikberatkan soal keharmonian alam sekitar dan kebersihan sajian makanan dalam usaha membangunkan industri pelancongan di Sarawak.

Justeru, berkunjunglah ke Sarawak pada bila-bila masa untuk berkongsi sejuta keindahan dan keunikannya yang malar segar, buat selama-lamanya.

SHARZEDE
SHARZEDE

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 6:10 AM