FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Syah Rul Aswari Abdullah


Pada satu petang Ramadan lalu, penulis berkesempatan menonton satu podcast baharu. Ia memaparkan empat panel yang berbincang secara santai mengenai introvert. Apa yang membuat penulis hairan, tiga daripada panelnya yang juga hos televisyen dan mengaku sebagai ekstrovert, namun bercerita cara untuk mengubah sikap individu introvert.

Jadi apabila orang ekstrovert memberi nasihat kepada individu introvert, mereka seakan-akan melabel golongan introvert ini sebagai orang yang mempunyai kekurangan. Ciri introvert ini - pada mereka - satu perkara negatif yang perlu diubah dan seolah-olah satu kelemahan.

Ini membuatkan penulis terfikir, sebenarnya tidak ramai orang yang faham apa itu introvert. Sering kali, seseorang dianggap introvert hanya jika dia tidak suka bergaul dan lebih suka bersendirian. Jadi, .ramai daripada kita yang suka menggunakan istilah ini apabila memberi alasan untuk tidak mahu bersosial. Kata-kata seperti "aku ini introvert sikit, jadi kau pergilah melepak" atau "aku memang tak suka bergaul sebab aku introvert." Ia juga sering kali mengundang konotasi negatif apabila sering dikaitkan dengan tingkah laku antisosial.

Namun, ini bukan salah mereka. Penulis pun hanya faham dan sedar memiliki ciri introvert apabila berusia 30-an. Ia selepas mengambil satu ujian psikologi mengenai ciri personaliti. Jika tidak, pemahaman penulis mengenai introvert ini juga, sama seperti pemahaman mereka, iaitu merujuk kepada orang yang pendiam, pemalu atau antisosial.

Sebenarnya, introvert ini hanya sifat atau ciri personaliti. Jika individu ekstrovert mendapat tenaga daripada interaksi dengan kumpulan besar, manakala individu introvert pula menerusi interaksi dalam kumpulan kecil. Satu cara paling mudah untuk menggambarkan individu introvert dalam suasana sosial adalah seperti bekas atau tangki air. Untuk individu ekstrovert, 'bekas atau tangki air' mereka lebih besar, jadi mereka mampu menampung tempoh interaksi sosial yang lebih panjang. Tetapi, untuk individu intovert, 'bekas' ini lebih kecil, jadi 'bekas' ini cepat penuh dengan interaksi sosial.

Bagi penulis, satu lagi cara mudah untuk menggambarkan introvert adalah dalam bentuk 'bateri sosial.' Bagi ekstrovert, mereka akan mendapat rangsangan apabila berada dalam situasi sosial. Jadi 'bateri sosial' mereka yang bermula 'kosong' akan dicas sehingga menjadi penuh. Lain pula halnya dengan introvert, 'bateri sosial' ini akan menjadi semakin berkurangan apabila banyak berinteraksi dalam persekitaran sosial. Jadi, mereka memerlukan masa untuk bersendirian selepas berada di khalayak ramai.

Namun, itu tidak bermakna individu introvert tidak suka bersosial. Jika individu ekstrovert lebih suka berbual kosong, individu introvert pula lebih suka berbual dengan orang yang berkongsi minat mendalam dalam satu-satu perkara atau mempunyai idea yang sama. Atas sebab sama, individu introvert kurang 'masuk' dengan kumpulan besar, sebaliknya lebih gemar bercerita mengenai sesuatu topik dalam kumpulan lebih kecil.

Secara semula jadi, rata-rata individu introvert tidak suka mempamerkan emosi. Jadi, ini mungkin menyebabkan ramai yang mungkin menganggap introvert sebagai biadab atau 'kedekut emosi.' Ini kerana mereka juga lebih suka berfikir sebelum bercakap. Kebanyakan masa, mereka lebih suka mendengar.

Golongan ini juga amat peka dengan aura dan 'tenaga' seseorang dan cepat tangkap terhadap komunikasi nonverbal individu lain.

Ini sebenarnya banyak berguna terutama jika dalam situasi cemas atau berurusan dengan orang yang mempunyai tahap kecerdasan emosi yang rendah.

Satu lagi salah tanggapan paling besar mengenai introvert adalah kami suka bersendirian. Sebenarnya, golongan intovert juga suka bersosial, namun kami lebih menghargai interaksi yang lebih berkualiti dalam kumpulan kecil. Ia sama sekali berbeza dengan orang yang memiliki ciri antisosial yang mengelak langsung daripada apa jua interaksi dengan individu lain. Namun, satu perkara yang golongan ekstrovert kurang atau tidak faham bahawa individu introvert memerlukan ruang bersendiri selepas berinteraksi dengan orang.

Semua ini tidak juga tidak bermakna individu introvert tidak bercita-cita tinggi. Bezanya, golongan ini tidak suka menggembar-gemburkan pencapaian peribadi atau gaya hidup dan lebih suka untuk tidak menonjol. Mereka juga berjaya dalam pelbagai bidang. Ada banyak bilionair yang memiliki ciri ini. Sebagai contoh, Mark Zuckerberg, Bill Gates dan Jeff Bezos dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yahoo, Marissa Mayer.

Jadi, adalah okey jika anda tahu bahawa diri, anak, pasangan atau rakan adalah introvert. Belajarlah menghargai sifat ini kerana ia hanyalah ciri personaliti dan ia tidak dimiliki semua orang. Bayangkan, jika semua manusia adalah sama dan bersifat ekstrovert. Hidup tentunya bosan kerana masing-masing hanya mahu bercakap, tanpa ada orang yang mahu mendengar.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 6:31 AM