GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nur Adila Samingan

Setiap rakyat Malaysia membabitkan pelbagai kepercayaan agama sudah biasa dengan bulan Ramadan. Ramai, baik Muslim atau bukan Muslim, yang ternanti-nantikan senario dan aroma dari bazar yang menjual pelbagai hidangan lazat untuk berbuka puasa.

Namun, walaupun tujuan berpuasa pada bulan Ramadan adalah untuk membentuk disiplin diri, ada juga beberapa aspek praktikal yang perlu dipertimbangkan.

Hakikatnya, untuk memahami apa yang berlaku kepada tubuh badan kita semasa berpuasa, adalah penting untuk memahami terlebih dahulu bagaimana badan bertindak balas kepada makanan. Badan kita menukar makanan menjadi tenaga dan sebarang lebihan akan bertukar menjadi glikogen yang kemudian disimpan. Proses ini dikawal insulin yang dihasilkan badan semasa kita makan. Lebih banyak kita makan, lebih banyak insulin yang terhasil dan semakin banyak tenaga disimpan."

Sebaliknya, ketika berpuasa, badan akan menggunakan tenaga daripada makanan terakhir yang dimakannya sebelum bertukar menjadi glikogen disimpan. Dengan berlalunya hari, badan akan memecahkan protein dan lemak yang tersimpan untuk tenaga.

Bagi melindungi diri, badan meningkatkan penghasilan hormon tumbesaran manusia untuk mengurangkan kehilangan otot. Selain itu, berpuasa turut mengurangkan penghasilan tekanan oksidatif dan meningkatkan aktiviti enzim antioksidan. Oleh itu, ia mengurangkan proses keradangan yang dikaitkan dengan jangka hayat yang lebih panjang dan sihat.

Biarpun begitu, realiti berpuasa dari makan dan minum bermula terbitnya matahari sehingga matahari terbenam adalah sesuatu yang mencabar, terutama kepada orang muda dan mualaf, yang berpuasa untuk kali pertama.

Bagi orang yang sudah biasa berpuasa, beberapa hari pertama adalah tempoh penyesuaian kerana badan menyesuaikan diri dengan jadual pemakanan yang berbeza. Bagi yang baru mula berpuasa, ingatlah yang badan kita cepat menyesuaikan diri, sama seperti ketika kita mula bersenam yang menyebabkan otot terasa sakit sebelum kita menjadi lebih kuat.

Apa yang penting, ibadah berpuasa tidak mendatangkan sebarang kemudaratan. Oleh itu, atas sebab kesihatan, wanita sedang haid, hamil atau menyusukan bayi dikecualikan berpuasa, termasuk mereka yang sakit kronik dan warga emas. Sebagai ganti, amal kebajikan boleh dilakukan. Bagaimanapun, ramai orang Islam tetap memilih memenuhi kewajipan penting ini. Ikutlah nasihat doktor jika masih mahu berpuasa.

Justeru, bagi penghidap diabetes, berbincanglah dengan doktor anda untuk mengetahui cara terbaik menguruskan pengambilan ubat dan makanan bagi mengelakkan paras gula dalam darah menjadi terlalu tinggi atau terlalu rendah. Ini kerana dalam kalangan pesakit diabetes, kencing yang kerap adalah petanda gula darah yang tinggi, manakala peluh sejuk atau pening-pening adalah gejala gula darah yang rendah. Sekiranya rendah, pesakit dinasihatkan segera berbuka puasa kerana dalam kes yang melampau, keadaan begitu boleh menyebabkan koma diabetik.

Begitu juga bagi individu yang menghidap gastrik pula, perlulah mengelak daripada mengambil makanan yang biasanya boleh menjadi pencetus kepada keadaan itu seperti makanan tinggi lemak, pedas, berlada, jus sitrus, minuman bergas dan kafein. Namun, setiap individu mempunyai reaksi berbeza terhadap makanan berbeza. Jadi, sebaiknya rujuklah doktor anda sebelum mengambil sesetengah makanan. Doktor boleh menasihati anda berdasarkan tahap keseriusan keadaan dan kawalan anda.

Begitu juga bagi membantu memudahkan anak-anak menikmati pengalaman berpuasa, peranan ibu bapa untuk memperkenalkan puasa secara beransur-ansur sebelum mereka mencapai usia dewasa.

Ibu bapa boleh mulakan dengan menggalakkan anak-anak berpuasa setengah hari atau berpuasa makan, tetapi membenarkan minum. Apa yang penting pastikan anda meraikan pencapaian mereka supaya terus bermotivasi.

Manakala, bagi golongan mualaf, adalah diingatkan berpuasa pada bulan Ramadan melibatkan lebih daripada menahan diri dari lapar dan dahaga. Seseorang perlu berdisiplin menahan diri dari mengikut kemahuan diri juga. Usaha ini secara kolektifnya bertujuan mengukuhkan hubungan rohani dengan Tuhan. Anda juga boleh cuba berlatih berpuasa sebelum Ramadan, iaitu pada bulan Rejab dan Syaaban sebagai salah satu cara mengamalkan disiplin diri.

Justeru, bulan Ramadan, penting untuk menguruskan pengambilan makanan dengan baik dan dengan pertimbangan teliti bagi memastikan nutrien dan tenaga mencukupi untuk berpuasa sepanjang hari.

Sebagai contoh, pilihan baik untuk sahur termasuklah

• Makanan tinggi serat dan karbohidrat kompleks seperti nasi dari beras basmati, bijirin gandum penuh dan oat yang direndam semalaman.

• Lemak sihat seperti kekacang, bijian dan minyak yang baik.

• Protein seperti telur, daging tanpa lemak, lentil, legum, susu dan yogurt.

• Sayur-sayuran dan buah-buahan yang tinggi kandungan air seperti tembikai, timun dan nanas.

Makanan seperti ini, terutama yang berserat tinggi dan kaya dengan protein, mengambil masa lebih lama untuk dicerna. Oleh itu, kita akan berasa kenyang lebih lama dan ini akan memberikan kita tenaga berterusan, sementara buah membantu penghidratan.

Secara kesimpulannya, hidangan lengkap dengan adanya protein, bijirin, buah-buahan, sayur dan lemak sihat yang mencukupi untuk memberi nutrien penting kepada tubuh badan. Melalui pemilihan pemakanan bijak Ramadan kali ini, individu dapat meningkatkan pengalaman berpuasa, menerima manfaat dan keberkatannya secara lebih menyeluruh.

Penulis Pakar Diet di Jabatan Pemakanan dan Dietetik, International Medical Univiersity (IMU)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 7:01 AM