PERMAINAN mantap pemain gitar, John Konesky (tengah) turut menarik perhatian penonton.
PERMAINAN mantap pemain gitar, John Konesky (tengah) turut menarik perhatian penonton.
PERSEMBAHAN yang bukan saja mantap dari segi vokal, tetapi juga aksi komedi mereka di pentas.
PERSEMBAHAN yang bukan saja mantap dari segi vokal, tetapi juga aksi komedi mereka di pentas.
Oleh Riadz Radzi


Sebagai pelakon, nama Jack Black cukup dikenali. Lebih sinonim dengan watak komedi, filem-filem seperti High Fidelity, Shallow Hal, Nacho Libre, Gulliver's Travel, King Kong, School Of Rock dan suara untuk watak Po dalam filem animasi 'box-office' Kung Fu Panda berjaya menaik­kan nama Black sebagai antara pelakon berstatus gred A di Hollywood.

Isnin lalu, bintang Hollywood berusia 45 tahun ini singgah di Kuala Lumpur. Bukan untuk menjalani penggambaran filem terbarunya tetapi bersama Tenacious D, band rock yang dianggotainya bersama penyanyi dan pemain gitar, Kyle Gass untuk mengadakan konsert di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Berbanding Black, Tenacious D mungkin kurang dikenali sebahagian besar rakyat negara ini. Namun, Tenacious D yang ditubuhkan pada 1994 ini sebenarnya antara band rock yang dinanti-nantikan kedatangannya ke sini.

Buktinya, hampir 2,000 penonton membanjiri KL Live sekali gus menjadi saksi kepada persembahan mantap Tenacious D yang turut dibantu pemuzik berpengalaman seperti John Konesky (gitar), John Spikey (bass) dan Brooks Wackerman yang juga pemain dram Bad Religion.

Gaya persembahan Black di pentas mengingatkan kita kepada watak-wataknya dalam filem seperti School Of Rock dan High Fidelity. Ada ketikanya dia kelihatan menjengkelkan dan cuba berlagak sebagai bintang rock legenda, tetapi dalam masa yang sama kelakar!

Gelagat Black 'membuli' kru pentas supaya mengelap peluh di muka dan menuang minuman dalam mulutnya setiap kali selepas mempersembahkan sebuah lagu mengundang tawa penonton.

Malah, kadang-kadang Black dan Gass 'bertekak' di atas pentas kononnya tidak berpuas hati dengan persembahan masing-masing.

Namun, itu semua lakonan yang menjadikan persembahan Tenacious D berbeza dan menarik berbanding band-band rock lain di seluruh dunia.

Dari segi muzik, vokal lantang Black dan permainan 'bersih' gitar akustik oleh Gass adalah kekuatan Tenacious D. Walaupun turut membawakan muzik rock dan heavy metal, kekuatan muzik mereka tidak terletak kepada 'riff' gitar elektrik tetapi 'strumming' gitar akustik.

Tanpa bergantung kepada wajah ala Brad Pitt atau tubuh sasa seperti Hugh Jackman, Black yang ringkas serta bertubuh gempal dan Gass yang kepalanya semakin botak serta bertubuh gempal berjaya membuatkan semua penonton pada malam itu pulang gembira.

Yang pasti, mereka mempertaruhkan bakat yang terbukti unggul.

Tenacious D mempersembahkan 18 lagu iaitu Tribute, The Pick of Destiny, Rize Of The Fenix, Dude I Totally Miss You, Kyle Quit the Band, Friendship, Low Hangin' Fruit, Kickapoo, Simply Jazz, The Metal, Dio, Roadie, Sax-a-Boom, Throw Down, Beelzeboss, Double Team, Wonderboy dan FHG.

Semua lagu dipetik dari tiga album mereka iaitu Tenacious D pada 2001, The Pick Of Destiny (2006) dan Rize Of The Fenix (2012).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 5:01 AM