FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mohd Zaini Othman

"Saya menantikan soalan dan pendapat semua pihak dalam sesi santai dan penuh harmoni, bagi meraikan perbezaan serta pandangan," itu hantaran ringkas di Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mempelawa rakyat Negeri Sembilan terutama golongan muda menyertai sesi Temu Anwar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 24 Jun lalu.

Seperti diketahui, Temu Anwar adalah program dialog anak muda yang diadakan secara bersiri khusus untuk orang ramai mendekati dan mengenali lebih dekat selaku pemimpin utama negara. Dalam bahasa mudahnya medan Perdana Menteri menyantuni rakyat secara santai.

Pada siri terkini di Dewan Tuanku Canselor USIM pada Sabtu lalu, lebih 3,000 anak muda membabitkan penuntut di institusi pengajian tinggi, politeknik, pelajar sekolah dan belia bersorak sejurus melihat kelibat Perdana Menteri melangkah masuk ke ruang utama dewan. Melihat suasana kemeriahan dalam dewan dengan sorakan dan tepukan gemuruh, itu satu petunjuk positif pada hemat penulis.

Ia memberi indikasi jelas bahawa anak muda teruja dan menghargai masa dan ruang yang diberikan seorang pemimpin bertaraf Perdana Menteri untuk duduk bersama mereka mendengar 'isi hati' yang ingin diluahkan.

Seruan Perdana Menteri supaya anak muda datang bertemu dengannya dalam program seumpama ini ibarat teguran berlapik kepada pemimpin di peringkat kerajaan sehingga pemimpin di peringkat masyarakat bahawa mereka seharusnya sentiasa mencari ruang mendekati golongan muda untuk mendengar suara mereka.

Kita sedia maklum bahawa anak muda adalah pemimpin masa depan yang bakal mencorak hala tuju negara, justeru itu dalam pelbagai proses untuk membentuk mereka menjadi pemimpin, satu proses penting bagi penulis adalah keperluan kepada pemimpin untuk memimpin mereka.

Proses 'memimpin' tidak semestinya dijumudkan dengan hanya melihat penyertaan dalam parti politik sebagai satu-satunya wadah yang ada, medannya lebih luas daripada itu. Membuka ruang untuk generasi muda melontar pandangan, idea mahupun kritikan kepada dasar dan tindakan semasa kerajaan juga adalah satu proses kepemimpinan.

Apabila golongan muda khususnya di universiti melihat bahawa setiap pandangan, idea dan kritikan yang mereka utarakan diambil cakna oleh kerajaan, ia adalah suatu bentuk didikan kepada mereka. Didikannya apa? Kelak apabila menjadi pemimpin pada masa depan, 'dengarlah' keluh kesah rakyat hatta sekecil rungutan sekalipun kerana itu sebahagian daripada tugas pemimpin. Bukan dipekakkan telinga untuk mendengar yang enak dan yang indah sahaja, sehingga berdiri tanpa berpijak di bumi nyata untuk melihat realiti sebenar yang membelenggu rakyat di bawah.

Tidak dinafikan, selepas beberapa siri Temu Anwar diadakan, bertemu dengan ribuan anak muda yang sebahagian besarnya mahasiswa, meluangkan masa berjam-jam lamanya mendengar setiap pandangan dan persoalan mereka, pastinya Perdana Menteri sudah mendapat pelbagai input penting untuk diterjemahkan dalam tindakan.

Sebagai bekas penuntut universiti dan kini berkhidmat di universiti, penulis tidak dapat menafikan bahawa universiti adalah institusi yang di dalamnya subur dengan budaya keilmuan, bermukim barisan pendidik dengan ketinggian ilmu dan pentadbir yang berpengalaman, sememangnya di sini tempat terbaik untuk menyuburkan idealisme dan kepemimpinan anak muda dari segenap segi.

Paling penting, alam kampus menjadi tempat melahirkan anak muda yang punyai 'karamah insaniah' yang tinggi kerana golongan seperti ini yang negara perlu di kemudian hari.

Kerana itu, Perdana Menteri dalam beberapa program beliau di universiti kerap melontarkan buah fikir beliau bahawa universiti perlu menjadi tempat di mana pelajar boleh berekspresi secara bebas tanpa suara mereka disekat oleh mana-mana pihak. Universiti mesti menjadi tempat pelajar menuntut ilmu dalam persekitaran yang membolehkan mereka berfikir dan berkembang daya inteleknya.

Memetik ucapan Perdana Menteri ketika Temu Anwar di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, katanya, "Saya meletakkan harapan tingkat tinggi kepada anak muda dan golongan belia daripada pelbagai kaum dan agama untuk terus memupuk nilai-nilai luhur sebagai usaha dan upaya memacu negara ke tahap lebih baik. Universiti perlu menjadi tempat di mana pelajar boleh berekspresi secara bebas tanpa suara mereka disekat oleh mana-mana pihak."

Melalui pendekatan Madani, penulis meyakini anak muda akan diberi ruang yang lebih besar untuk menjadi penggerak penting dalam pembangunan, politik dan ekonomi.

Justeru, generasi lama yang sudah lama makan garam perlu bekerjasama membantu anak muda mencorakkan masa depan negara. Justeru, dengan perkembangan dan kemajuan teknologi yang pesat, perubahan sosioekomi, taraf hidup dan pendidikan yang lebih baik, negara ini tidak boleh lagi bergerak dengan gaya lama yang sudah kurang relevan.

Penulis Penolong Pendaftar Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 6:15 AM