ANWAR ketika sesi dialog bersama mahasiswa pada program Temu Anwar di USIM, 24 Jun lalu (gambar fail). FOTO Bernama
ANWAR ketika sesi dialog bersama mahasiswa pada program Temu Anwar di USIM, 24 Jun lalu (gambar fail). FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sesi dialog Temu Anwar diteruskan, kali ini di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah pada Sabtu ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan di Facebook hari ini mengajak anak-anak muda di negeri itu untuk turut sama serta bertanya soalan dalam sesi berkenaan yang akan berlangsung di Dewan Muadzam Shah, UUM pada pukul 12.30 tengah hari.

"Saya ingin menjemput anak-anak muda negeri Kedah untuk turut sama dalam sesi ini dan bertanya soalan kepada saya serta memberi pandangan atau teguran membina kepada kerajaan. Kita jumpa Sabtu ini!," kata Anwar.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi laman sesawang temuanwar.com.

Temu Anwar adalah program dialog anak muda bersiri bagi memberi ruang kepada setiap lapisan masyarakat terutama anak muda mengutarakan persoalan secara langsung kepada Perdana Menteri.

Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November lepas, Temu Anwar telah diadakan di beberapa negeri seperti Sabah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 6:09 PM