UNTUK seseorang artis sampai ke pentas berprestij tentunya ia memerlukan ilmu pengetahuan dalam bidang yang diceburi.
UNTUK seseorang artis sampai ke pentas berprestij tentunya ia memerlukan ilmu pengetahuan dalam bidang yang diceburi.
Riadz Radzi

Ramai yang boleh berlakon, tapi tak semua yang betul-betul boleh berlakon. Yang pasti, bakat dan minat adalah perkara pokoknya. Tanpa dua faktor ini, payah juga.

Menjadi pelakon serba boleh atau versatile adalah impian setiap pelakon. Berilah apa saja watak, pasti boleh dilaksanakan dengan cemerlang atau 'memberi'.

Kita memang ada ramai pelakon versatile. Mereka boleh bawa watak komedi, serius, hero, antagonis dan apa saja.

Antaranya Beto Kusyairy, Jalil Hamid, Sabri Yunus, Bront Palarae, Amerul Affendi, Nadiya Nisaa, Nadia Aqilah, Wan Maimunah dan Kartina Aziz - sekadar beberapa contoh.

Namun, ada beberapa perkara yang perlu diambil berat semua pelakon iaitu mengenai skill atau kemampuan tertentu.

Antaranya ialah memandu (termasuk kenderaan gear manual), menunggang motosikal (dari kapcai hingga berkuasa tinggi) dan basikal.

Ini mungkin nampak mudah dan 'tidak penting' berbanding kemahiran berlakon, tetapi jangan tak percaya ada segelintir pelakon tidak boleh melakukannya.

Menunggang motosikal mungkin tidak ada masalah buat pelakon lelaki (atau memang ada yang tak tahu bawa motosikal?), tetapi ada pelakon wanita yang tidak tahu menunggang motosikal terutama motosikal berkuasa tinggi.

Walaupun jarang mendapat watak memerlukan mereka menunggang motosikal, tetapi apa salahnya bersedia dengan kemahiran itu sekiranya diperlukan.

Ada rakan-rakan dalam kalangan kru produksi mengadu ada pelakon mengaku tidak tahu memandu kereta atau motosikal ketika di lokasi penggambaran.

Tapi, itu tidak ada masalah kerana semua itu boleh dipelajari dengan mudah dan pantas.

Ini termasuk kemahiran lain seperti berenang, bersukan, bersenam, memasak, berkebun, mengasuh anak, seni bela diri, solat, membaca doa dan banyak lagi.

Buat pelakon beragama Islam, pastikan boleh membaca al-Quran. Jika tidak tahu, tidak ada istilah terlambat untuk belajar.

Pernah juga menonton babak pelakon membaca al-Quran, tetapi menggunakan suara orang lain. Bukan tidak boleh, tetapi lebih afdal sekiranya pelakon itu yang membaca sendiri, bukan? Sudah tentu pahala pun dapat.

Mungkin ada yang menganggap ini remeh, tetapi ia adalah sebahagian daripada usaha untuk menjadi pelakon 'versatile'.

Maksudnya untuk menjadi pelakon seperti itu, ini semua perlu ada. Bukan setakat handal menghayati watak, bermain emosi atau 'natural' melontarkan dialog.

Ini semua adalah ilmu dan sangat memberi manfaat. Dalam menuntut ilmu, usia dan masa bukanlah penghalang. Bila-bila masa saja kita boleh menuntut ilmu.

Bercerita mengenai ilmu, artis juga digalakkan menuntut ilmu hingga ke peringkat tertinggi jika ada kemampuan.

Pelakon, pengarah dan penerbit, Dr Ahmad Idham dalam temubual bersama Harian Metro berkata, populariti tidak mencerminkan tahap intelektual seseorang individu terutamanya dalam kalangan artis.

Sejauh mana pun seseorang artis itu menggapai tingkat populariti, namun perlu ada ilmu yang terisi dalam dadanya.

Menurut Idham yang memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD), artis perlu membuang persepsi masyarakat bahawa untuk menjadi artis tidak perlu belajar tinggi-tinggi.

"Sejak melangkah masuk ke dalam industri hiburan, saya selalu bercakap mengenai alangkah baik sekiranya ada lebih ramai individu berilmu dalam industri kita ini.

"Tanggapan orang ramai mengenai industri kita juga akan berbeza. Tidak hanya mahu sekadar bercakap, saya juga akan buktikan dan tunjukkan kata-kata saya itu," katanya.

Menurutnya, industri hiburan tanah air memiliki potensi besar untuk pergi lebih jauh sekiranya persepsi negatif itu dapat dipadamkan.

Jadi, kepada artis muda, selain memiliki skill seperti yang dimaklumkan di atas, ambillah peluang untuk menuntut ilmu.

Sayang ada segelintir artis remaja yang membuat keputusan berhenti sekolah semata-mata mahu memberi tumpuan kepada kerjaya lakonan dan nyanyian.

Penulis Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 7:00 AM