Riadz Radzi


HERO filem Black Panther Chadwick Boseman teruja menerima tawaran berlakon filem berkenaan dan terus bersetuju walaupun belum membaca skripnya selain tidak mengetahui siapa pengarah serta pelakonnya.

Chadwick yang membawa watak superhero Black Panther dan T'Challa dalam filem terbitan Marvel Studio itu berkata, ketika menerima tawaran, dia berada di Switzerland dan kebetulan telefonnya tiada talian antarabangsa.

"Marvel cuba menghubungi saya pada malam itu, tetapi talian antarabangsa telefon saya tidak diaktifkan. Saya hanya mendapat mesej itu keesokkannya.

"Mereka bertanya adakah saya berminat untuk satu watak dalam filem terbaru terbitan mereka? Saya memang sudah tahu ia adalah untuk watak superhero dan tawaran daripada Marvel memang sesuatu yang tidak harus dilepaskan.

"Saya menerima tawaran ini tanpa mengetahui bagaimana skripnya dan siapa pengarah serta pelakonnya. Saya juga tidak menghadiri sesi uji bakat. Sebagai pelakon, ini pertama kali saya lakukan," katanya dalam sidang media filem Black Panther di Hotel Four Seasons, Seoul, Korea Selatan, hari ini. Hadir sama, pengarah filem berkenaan, Ryan Coogler dan dua pelakon utama Lupita Nyong'o dan Michael B Jordan.

Sementara itu, Ryan berkata, berpeluang menduduki kerusi pengarah untuk filem itu adalah sesuatu yang hebat.

"Black Panther adalah filem superhero berbeza jika dibandingkan dengan filem terbitan Marvel yang lain. Ia menggabungkan tradisi dan kemodenan. Dapat bekerjasama dengan barisan pelakonnya seperti Chadwick, Lupita dan Michael juga adalah sesuatu yang cukup hebat," katanya.

Ryan berkata, dia membesar dengan membaca komik dan Black Panther cukup dekat di hatinya.

"Saya rasa amat bertuah apabila diberi tanggungjawab (mengarah) ini," katanya.

Black Panther yang mula menjalani penggambaran di sebuah studio di Atlanta, Amerika Syarikat pada Januari tahun lalu akan ditayangkan di Malaysia mulai 16 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 11:17 AM
Pelakon filem Black Panther, Chadwick (dua dari kiri), Lupita (tiga dari kiri) dan Michael (kanan) bersama Ryan pada sidang media di Seoul, Korea Selatan, hari ini. FOTO Riadz Radzi
Pelakon filem Black Panther, Chadwick (dua dari kiri), Lupita (tiga dari kiri) dan Michael (kanan) bersama Ryan pada sidang media di Seoul, Korea Selatan, hari ini. FOTO Riadz Radzi