FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Dr Rozita Wahab

Kemurungan dilihat antara masalah kesihatan mental yang semakin meningkat dan menjejaskan jutaan individu di seluruh dunia.

Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), secara purata kira-kira 3.8 peratus daripada populasi dunia berdepan kemurungan setiap tahun, di mana 5.0 peratus daripadanya melibatkan individu dewasa.

Berdasarkan data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 pula, hampir setengah juta rakyat, iaitu kira-kira 2.3 peratus penduduk dewasa di Malaysia mengalami gejala kemurungan. Namun, pakar percaya banyak kes kemurungan atau masalah kesihatan mental, tidak didiagnosis dan tidak dirawat.

Kemurungan atau depresi adalah sejenis masalah kesihatan yang menyebabkan perubahan negatif kepada tiga aspek utama psikologi seseorang individu iaitu mental, emosi dan tingkah laku. Perubahan ini boleh dilihat dan disedari oleh individu itu sendiri atau individu yang rapat berdasarkan gejala tertentu.

Apabila seseorang mengalami masalah kemurungan, antara gejala mental yang boleh dikesan adalah individu terbabit mula memikirkan perkara negatif seperti memikirkan dirinya tidak berguna dan tidak bermakna kepada orang lain. Gejala emosi pula adalah apabila seseorang individu menjadi lebih mudah untuk berasa irritated atau 'jengkel' dengan sesuatu perkara, sering mengalami perasaan sedih yang berpanjangan atau secara tiba-tiba serta berasa putus asa dengan hal-hal kehidupan.

Selain itu, kemurungan juga boleh menyebabkan gejala fizikal seperti keletihan yang berpanjangan, tahap tenaga yang menurun serta perubahan selera makan dan pola tidur.

Seterusnya, daripada sudut tingkah laku, individu yang mengalami gejala kemurungan juga menjadi lebih cenderung untuk menyendiri, kehilangan minat untuk melakukan aktiviti yang biasanya menjadi kegemaran serta berkecenderungan untuk merosakkan atau menyakitkan diri sendiri, dengan mengambil ubat-ubat terlarang, dadah atau alkohol secara berlebihan.

Bagi kes lebih ekstrem, individu yang berdepan masalah kemurungan juga berkecenderungan mencederakan diri sendiri atau orang lain serta berkemungkinan melakukan cubaan bunuh diri.

Hakikatanya, masalah kemurungan mampu terjadi kepada seseorang individu disebabkan pelbagai faktor yang boleh diperjelaskan melalui dua kategori utama iaitu faktor dalaman dan faktor luaran. Faktor dalaman adalah faktor biologi dan faktor luaran pula adalah faktor persekitaran seseorang individu. Faktor biologi adalah faktor genetik atau keturunan. Terdapat banyak kajian ilmiah ahli akademik dan pakar menjelaskan bahawa sejarah masalah kemurungan dalam keluarga boleh meningkatkan risiko bagi seseorang individu untuk berhadapan dengan masalah kesihatan mental yang sama.

Selain itu, faktor dalaman juga merujuk kepada perubahan atau gangguan hormon dalam badan.

Antara contoh faktor persekitaran pula adalah pengalaman sukar yang terjadi dalam kehidupan seseorang individu seperti kehilangan atau kematian orang tersayang.

Selain itu, faktor lain apabila berlaku perubahan rutin hidup yang drastik, yang membuatkan seseorang sukar menyesuaikan diri dan beradaptasi dengan perubahan itu.

Contohnya, ketika negara dilanda pandemik Covid-19 yang menyebabkan masyarakat menjalani perintah berkurung. Bagi golongan ekstrovert yang gemar melakukan aktiviti luar dan perlu sentiasa berhubung dengan orang lain, tempoh ini adalah fasa dan pengalaman yang sulit. Seterusnya, masalah kemurungan juga boleh terjadi disebabkan trauma atau musibah dalam hidup seperti kemalangan, atau serangan fizikal dan seksual.

Selain itu, ntara faktor lain yang boleh membawa kepada masalah kemurungan adalah stres atau tekanan melampau. Contohnya tekanan di tempat kerja, masalah perhubungan dengan orang persekitaran, kehilangan kerja, atau penderaan rumah tangga.

Jika melihat kepada rawatan, masalah kemurungan ini adalah satu masalah kesihatan yang boleh dikawal dan diubati. Antara kaedah perubatan bagi masalah kemurungan adalah melalui pengambilan ubat-ubatan, menjalani sesi terapi bersama golongan profesional yang berkelayakan serta dengan cara penjagaan kesihatan melalui pemakanan dan riadah.

Kaedah rawatan terbaik yang boleh dilakukan oleh individu yang menghadapi masalah kemurungan adalah berdasarkan nasihat dan panduan yang betul daripada golongan profesional.

Bagi individu yang mengalami gejala kemurungan, terdapat beberapa langkah penting yang perlu dilakukan. Langkah pertama adalah individu berkenaan perlu menerima hakikat bahawa dia berkemungkinan menghadapi masalah kemurungan. Individu yang bergejala tidak boleh menidakkan gejala yang dialaminya, hidup dalam fasa 'penafian' atau terus berdiam diri dan tidak mengambil sebarang tindakan lanjut. Langkah pertama ini sangat penting kerana ia menjadi titik awal kepada langkah seterusnya. Antara punca yang mungkin menyebabkan seseorang individu tidak mendapatkan bantuan bagi menyelesaikan masalah kemurungan adalah disebabkan bimbang tentang stigma masyarakat atau tidak mempunyai pengetahuan berkaitan perkara ini.

Seterusnya, apabila individu berkenaan menerima hakikat tentang gejala yang dialami, langkah kedua adalah dengan mendapatkan pertolongan pihak tertentu, bermula daripada bantuan sokongan sosial daripada individu terdekat dan diikuti bantuan daripada golongan profesional. Bantuan ini amat penting kerana individu yang mempunyai gejala kemurungan memerlukan sistem sokongan sosial yang baik sepanjang tempoh mereka melawan penyakit ini terutamanya bagi kes kemurungan di tahap kritikal.

Kesimpulannya, kemurungan boleh diibaratkan 'api dalam sekam' apabila masalah ini dinafikan atau tidak disedari, diabaikan atau dipandang ringan dan tidak dirujuk kepada profesional. Bagaimanapun, jika gejala kemurungan ini disedari awal dan didiagnosis, ia boleh dikawal dan dirawat.

Penulis Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 7:00 AM