USAHA menjadi  umat Islam yang patuh kepada perintah Allah SWT.
USAHA menjadi umat Islam yang patuh kepada perintah Allah SWT.
Bersama Muhammad Fahmi Md Ramzan

Hidup sebuah perjalanan menuju suatu titik tujuan iaitu untuk meraih kebaikan bukan sahaja di dunia, bahkan sehingga di akhirat. Sebagaimana diungkap setiap Muslim tatkala memanjatkan doa, "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka." (Surah al-Baqarah, ayat 201)

Namun perjalanan hidup singkat ini tak selalunya indah dan sesuai dengan keinginan. Sering kali diuji pelbagai kesulitan yang kerap kali membuat seseorang tertekan dalam hidup.

Tekanan atau stres adalah tindak balas fizikal, emosi dan mental yang dialami seseorang apabila ditimpa masalah. Umumnya tahap tekanan dihadapi bergantung kepada beban dihadapi. Tekanan yang sedikit atau sederhana adalah baik dan boleh menjadi faktor pendorong kepada seseorang individu meningkatkan produktiviti.

Namun tekanan berlebihan untuk jangka masa panjang dan tidak segera ditangani menyebabkan kesan negatif dan boleh memudaratkan kesihatan seseorang. Selain itu, tekanan berlebihan yang agak lama berpotensi mengakibatkan seseorang berada dalam situasi kemurungan (depression) yang boleh memberi dampak buruk bukan saja terhadap kesihatan fizikal bahkan terhadap kesihatan mental seseorang.

Kemurungan adalah keadaan yang boleh dialami semua orang tanpa terkecuali. Keadaan paling dominan bagi seseorang yang mengalami kemurungan ialah emosi berlebihan seperti merasa susah, sedih, tidak berguna dan tidak bahagia lalu membawa kepada rasa putus asa serta tiada semangat untuk hidup. Bahkan, sampai satu tahap jika tidak ditangani dengan segera, dalam beberapa keadaan ia boleh memunculkan tindakan di luar kawalan akal yang waras seperti halusinasi, penderaan, serangan terhadap ahli keluarga bahkan sehingga membunuh, baik membunuh orang sekeliling mahupun membunuh diri sendiri.

Oleh itu, tekanan dan kemurungan tidak boleh dipandang remeh. Ia perkara yang serius dan perlu diberi perhatian, lebih-lebih lagi di kala menghadapi kemelut ekonomi, kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Namun, masih ramai tidak sedar dirinya berpotensi mengalami tekanan bahkan kemurungan sehingga lebih mengambil sikap mendiamkan diri dan memendam rasa. Sebahagian mereka memandang tekanan dan kemurungan hanya sebatas persoalan batin yang 'lazim' dialami setiap manusia dan tidak perlu dirisaukan. Walhal, keadaan itu perlu ditangani segera melalui kaedah yang tepat dan berkesan supaya tidak menjurus kepada keadaan yang lebih parah.

Dalam konteks ini, Islam menggariskan beberapa pendekatan spiritual bagi menangani tekanan dan kemurungan. Yang pertama mengikuti petunjuk Allah dan rasulNya, sebagaimana diperintahkan Allah di dalam al-Quran, "Maka barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran ke atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati." (Surah al-Baqarah, ayat 38)

Dalam menghadapi cabaran hidup getir, umat Islam perlu istiqomah melaksanakan tuntutan agama seperti menjaga solat fardu lima waktu dan membaca al-Quran serta meninggalkan apa yang dilarang iaitu meninggalkan kemaksiatan. Jika petunjuk ini dipatuhi, maka gangguan mental akan terhindar daripada kehidupan.

Yang kedua meyakini bahawa Allah sentiasa bersama. Hal ini seperti mana keterangan ayat al-Quran, "Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita." (Surah at-Tawbah, ayat 40)

Jika berada dalam keadaan tekanan bahkan kemurungan, yakinkan diri Allah SWT sentiasa bersama dan semua yang ada di dunia ini berada dalam pengawasan dan pengaturanNya. Jika hadir rasa "ma'iyyah" (kebersamaan dengan Allah), masalah apapun yang menimpadihadapi dengan tenang dan tawakkal kepadaNya, sambil terus berikhtiar.

Yang ketiga memperbanyak zikir iaitu memperbanyak mengingati Allah. Kesinambungan daripada pendekatan sebelumnya, untuk mencapai keyakinan bahawa Allah sentiasa bersama, maka perlu untuk memperbanyak zikir kerana ia akan menjadikan hati lebih tenang dan tenteram, seperti mana firman Allah, "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah SWT hati menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28)

Manakala yang keempat memperbanyak doa dan mengadu kepada Allah kerana doa senjata orang beriman. Rasulullah ﷺSAW mengajarkan doa perlindungan daripada rasa khuatir dan sedih, "Allahumma inni a'udzubika minal hammi wal hazan…" yang bermaksud, "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kekhuatiran dan kesedihan..." (HR. Bukhari)

Berdoa dan mengadukan masalah kepada Allah juga sumber kekuatan orang beriman. Hal ini dibuktikan Nabi Ya'qub A.S ketika menerima berita kehilangan anakandanya Yusuf A.S seperti diabadikan di dalam al-Quran, "Ya'qub menjawab, "Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku..." (Surah Yusuf, ayat 86)

Pendekatan kelima sentiasa muhasabah diri dan memperbanyak istighfar kerana boleh jadi tekanan dihadapi akibat daripada dosa-dosa yang dilakukan. Dengan memperbanyak istighfar, seseorang itu akan mendapat jaminan diberikan jalan keluar bagi setiap permasalahan hidup yang dialami, seperti mana disebutkan di dalam hadis, "Barangsiapa memperbanyak istighfar, nescaya Allah SWT memberi jalan keluar bagi setiap kesedihannya, kelapangan untuk setiap kesempitannya, dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka." (HR. Ahmad)

Sebagai tambahan, orang yang beriman perlu merasa optimis masalah melanda hanya sementara dan akan segera berakhir. Sepertimana disebutkan di dalam al-Quran perihal sikap orang beriman, "Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman." (Surah Ali 'Imran: 139)

Penulis Pengasas Pusat Pengajian Abu Faqih Centre

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 7:00 AM