FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
minda

Apabila terdengar content di TikTok mengenai lagu 'Burung Puyuh, Burung Ketut Dimakan Biawak' (Dhila_JM), terhibur rasa hati dengan bait lagu itu yang selamba.

Kenapa saya mengaitkan lagu itu dengan penulisan kali ini? Burung puyuh sinonim sebagai burung kecil yang cantik, sopan dan berbudi bahasa gayanya dan biawak pula sejenis reptilia ganas mencari mangsa.

Ia boleh diterjemahkan dalam suatu situasi kerja iaitu pembuli di tempat kerja. Mungkin pada pemikiran pembaca atau Tik Toker, lain pula maksudnya.

Saya ingin terjemahkan situasi itu daripada sudut pembuli di tempat kerja sahaja. Mungklin lain orang lain pula pendapatnya, jadi terpulang pada pemahamam masing-masing.

Apakah perbuatan membuli di tempat kerja? Perbuatan membuli di tempat kerja ialah tindakan tidak berpatutan atau tidak sesuai dilakukan berkali-kali terhadap seseorang atau sekumpulan pekerja, yang boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan dan keselamatan.

Oleh sebab perbuatan itu boleh mendatangkan kesan buruk kepada keselamatan dan kesihatan pekerja, ia adalah salah mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Dalam Pekerjaan 1984 dan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Dalam Pekerjaan 1996.

Sesetengah perbuatan membuli di tempat kerja membabitkan caci maki dan kekerasan fizikal, tetapi ia boleh membabitkan ugutan secara halus.

Perbuatan membuli di tempat kerja boleh dilakukan secara tidak langsung, misalnya melalui surat, e-mel atau mesej teks telefon.

Amalan 'inisiasi' atau memperkenalkan pekerja baharu adalah satu bentuk perbuatan membuli. Seorang individu atau sekumpulan boleh menghasut perbuatan membuli.

Istilah workplace mobbing kadangkala digunakan untuk merujuk kepada kelakuan penganiayaan yang berpanjangan atau secara sistematik oleh sekumpulan pekerja dan ia boleh termasuk perbuatan membuli apabila sekumpulan pekerja menganiayai seorang pengurus atau orang yang berkuasa.

Biasanya tujuan perbuatan itu ialah untuk mengusir seorang pekerja dari tempat kerjanya. Perbuatan membuli boleh dilakukan sekumpulan pekerja terhadap pekerja lain, pengurus atau penyelia, pengguna atau pelanggan, pelajar, kontraktor atau pelawat.

Walaupun perbuatan membuli itu berlaku sekali sahaja, ia tidak boleh diterima oleh sebab jika diabaikan, ia boleh wujud sebagai pola berulangan yang menjadi sebahagian daripada budaya di tempat kerja.

Sudah tentu dari semasa ke semasa akan timbul percanggahan pendapat, pertikaian dan masalah dalam perhubungan kerja dan ini adalah biasa dalam kehidupan bekerja.

Tetapi, apabila seseorang itu diperlakukan secara tidak berpatutan atau menghina, perbuatan membuli sudah berlaku dan ia tidak seharusnya diterima.

Penentuan takrif perbuatan membuli terletak pada kesan tindakan itu, walaupun tidak wujud tujuan khusus membuli.

Perbuatan membuli boleh termasuk kekerasan dan agresif. Apabila perbuatan membuli membabitkan serangan atau ancaman serangan, ia menjadi kes polis.

Terdapat dua jenis perbuatan membuli iaitu tindakan terang-terangan dan terselindung.

Contoh membuli secara terang-terangan termasuk, kata-kata mencaci, menghina atau menyakiti hati; tindakan atau kata-kata menakutkan, memalukan, menghina atau menjatuhkan maruah termasuk kritikan yang diberikan secara menengking atau memekik.

Selain itu, komen tidak sesuai mengenai rupa, cara hidup atau keluarga seseorang; mengusik atau selalu menjadikan seseorang sasaran usikan atau bahan ketawa; mengganggu barang kepunyaan atau kelengkapan kerja seseorang, amalan membahayakan atau menghina dan menyerang atau mengancam.

Perbuatan terselindung atau lebih halus yang menjejaskan, kurang adil atau melemahkan kuasa seseorang itu adalah perbuatan membuli, misalnya memberi seseorang itu terlalu banyak tugas tidak sepatutnya.

Apakah perbuatan bukan membuli? Semua majikan berhak daripada segi udang-undang untuk mengarah dan mengawal cara tugas dilaksanakan dan pengurus bertanggungjawab mengawasi perjalanan tugas dan memberi maklum balas mengenai prestasi.

Jika prestasi seorang pekerja bermasalah, puncanya perlu dikenal pasti dan diselesaikan secara membina dan objektif tidak membabitkan penghinaan atau komen yang menyakitkan hati.

Dalam keadaan seorang pekerja tidak berpuas hati dengan pengurusan kerja, masalah itu perlu dikemukakan dengan cara profesional dan objektif.

Perlu ada prosedur untuk menyiasat rungutan atau aduan yang boleh digunakan untuk menyelesaikan perkara itu.

Reaksi setiap pekerja berbeza terhadap perbuatan membuli. Ada kemungkinan pekerja yang dibuli akan mengalami beberapa kesan berikut seperti tekanan jiwa, kebimbangan, gangguan pola tidur; serangan perasaan cemas atau terjejasnya kemampuan membuat keputusan; tidak boleh bekerja, kehilangan daya berfikir, kehilangan semangat percaya pada diri sendiri dan hasil kerja serta prestasi menurun.

Ada yang mengalami kemurungan atau perasaan terpencil dan dalam kes lebih teruk, wujud risiko membunuh diri; mencederakan diri; kemorosotan kualiti kehidupan di rumah dan bersama keluarga.

Kesannya kepada organisasi pula termasuk kecekapan yang menurun, persekitaran kerja tidak selamat, peningkatan ketidakhadiran, patah semangat, peningkatan tuntutan ganti rugi oleh pekerja atau tindakan sivil.

Apa pun, perbuatan membuli boleh diberhentikan dan cara menangani perbuatan membuli bergantung kepada suasana tempat kerja dan sifat perbuatan membuli itu.

Setiap situasi adalah berbeza. Jika anda dibuli, anda boleh mengambil tindakan tidak rasmi atau mengatasinya dengan cara lebih rasmi.

Diharapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi peneraju penguatkuasaan ulung di Malaysia tidak ada sikap buli membuli antara pegawai bawahan dan atasan atau pegawai yang baru memasuki dunia PDRM.

erhenti menjadi pembuli kerana ia akan memcacatkan sesebuah organisasi dan yang lebih mengusarkan lagi akan menjatuhkan organisasi itu.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 7:00 AM