KEKERAPAN banjir kilat yang berlaku di kawasan bandar perlu dikaji dan langkah bagi mengelakkan kejadian sama berulang perlu dilakukan segera.
KEKERAPAN banjir kilat yang berlaku di kawasan bandar perlu dikaji dan langkah bagi mengelakkan kejadian sama berulang perlu dilakukan segera.
minda

Sejak kebelakangan ini trend kejadian banjir kilat yang berlaku terutama di kawasan bandar menunjukkan peningkatan.

Intensiti hujan yang tinggi, kawasan pembangunan yang padat, sistem saliran yang tidak diselenggara dengan baik dan masalah pencemaran longkang serta saliran menjadi penyumbang utama kepada faktor banjir kilat di kawasan bandar. Malah, kawasan bandar seperti di Shah Alam, Selangor dan Batu Pahat, Johor adalah antara contoh bandar yang sudah mengalami fenomena banjir kilat yang teruk.

Banjir kilat biasanya dikaitkan dengan hujan lebat dan berlaku di kawasan bandar.

Banjir kilat boleh berlaku sama ada di pusat bandar ataupun membabitkan kawasan perumahan di sekitar bandar.

Hujan lebat yang berlaku pada kadar yang pantas selama beberapa jam, kawasan lembah dan berturap, bangunan yang padat serta sistem saliran yang tidak baik menyebabkan kawasan itu mudah ditenggelami air dalam masa beberapa jam sahaja.

Walaupun banjir kilat, biasanya 'cepat surut', namun kesan daripada banjir kilat mengakibatkan kerugian harta benda kepada masyarakat. Selain itu, kejadiannya yang berlaku pada bila-bila masa boleh mengundang trauma kepada mangsa yang mengalaminya.

Banjir kilat dilihat sebagai bencana alam kerana ia mampu memberi kesan ke atas kehidupan manusia secara langsung seperti kematian, kerosakan tempat tinggal, kenderaan, kemusnahan hasil pertanian, perniagaan dan kerosakan infrastruktur.

Hakikatnya, bencana alam dipengaruhi oleh dua faktor iaitu faktor semula jadi dan faktor manusia. Faktor semula jadi seperti perubahan monsun dan tiupan angin antara faktor yang sukar untuk dikawal. Faktor manusia pula seperti kepincangan perancangan guna tanah di bandar boleh memberi implikasi yang besar kepada struktur tanah. Namun, ia boleh diuruskan dengan baik.

Dalam dasar perancangan guna tanah untuk pembangunan, pembangunan di kawasan sensitif alam sekitar akan mengundang kepada bencana alam seperti banjir kilat, tanah runtuh dan pencemaran kualiti air.

Pada asasnya, interaksi antara manusia dengan alam sekitar secara mampan akan dapat mengekalkan kelestarian alam sekitar. Namun, jika pembangunan yang dijalankan oleh manusia mengetepikan aspek penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar, manusia seolah-olah mengundang bencana ke atas kehidupan mereka.

Dalam keadaan semula jadi, alam sekitar dapat menyerap sebarang pencemaran, sekiranya ia berlaku pada kadar yang minimum. Bagaimanapun, jika ia berlaku secara melampau, alam sekitar akan memulangkannya semula dalam bentuk bencana kepada manusia dan persekitaran. Sebagai contoh, kejadian banjir kilat adalah antara bentuk bencana yang dipulangkan oleh alam sekitar kepada manusia berikutan perancangan dan pencemaran alam sekitar secara melampau.

Kejadian bencana alam sekitar seperti banjir kilat, biasanya berlaku apabila adanya pertentangan antara proses biofizikal dengan tindak balas manusia mempunyai kadar ketidakseimbangan yang tinggi.

Ekosistem adalah interaksi antara manusia dan alam sekitar bertindak balas terhadap persekitaran mereka. Sebarang perubahan yang meninggalkan kesan negatif kepada ekosistem akan meruncingkan tindak balas antara manusia dengan persekitarannya.

Sama ada sedar atau tidak, pembangunan pesat di kawasan bandar sering kali mengabaikan aspek pengurusan alam sekitar. Aktiviti pembangunan pesat seperti bangunan perniagaan, pejabat, rumah kedai, kawasan perumahan menyebabkan kawasan bandar menjadi 'hutan batu' dan tepu.

Kawasan hijau menjadi semakin mengecil. Landskap bandar ditar. Longkang dan parit menjadi semakin kecil dan penuh sampah serta tidak disenggara dengan sewajarnya. Keadaan seperti ini boleh menyumbang kepada kejadian banjir kilat apabila hujan turun dengan lebat walaupun dalam tempoh singkat.

Air hujan yang tidak dapat meresap dalam tanah dengan pantas kerana landskap bandar yang bertar. Air ini seterusnya mengalir laju dan membanjiri kawasan lembah dan padat dengan pembangunan.

Kekerapan banjir kilat yang berlaku di kawasan bandar perlu dikaji dan langkah bagi mengelakkan kejadian sama berulang perlu dilakukan segera. Pihak pembuat dasar dan kerajaan tempatan perlu mengambil inisiatif yang berkesan bagi menangani masalah ini daripada berulang.

Masyarakat bandar khususnya perlu sedar bahawa pencemaran alam sekitar seperti membuang sampah dalam longkang dan sistem saliran menjadi punca banjir kilat di kawasan mereka.

Oleh yang demikian, masyarakat perlu dididik dengan pengetahuan akan kepentingan penjagaan alam sekitar di sekitar mereka.

Berdasarkan perbincangan di atas jelas menunjukkan bahawa kawasan bandar dibangunkan secara keterlaluan tanpa memikirkan keseimbangan ekosistem bandar itu sendiri. Keadaan yang tidak terkawal ini akhirnya mewujudkan bencana yang memberi kesan ke atas kesejahteraan hidup masyarakat bandar.

Penulis Pensyarah Pengurusan Persekitaran, Penyelidik Utama, Centre Of Sustainable Infrastructure and Environmental Management (CSIEM) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 7:00 AM