GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
ASP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

MEMANG ceria apabila teringat kenangan sebelum Covid-19 melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, mengeteh di kedai mamak sambil menikmati roti canai garing dengan kuah kari kambing bersama kawan seperjuangan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ada dalam kalangan mereka masih berkhidmat, di hujung perkhidmatan dan bersara wajib atau ada memilih untuk bersara awal. Kelakar bercampur gembira dan sedih melihat gelagat masing-masing.

Ada yang bersara dan menyimpan janggut panjang berjela, berkopiah putih dan ada berambut panjang, agaknya lepas dendam kerana tidak boleh menyimpan rambut panjang ketika bertugas.

Ini masa paling indah buat mereka apabila dapat berkumpul kembali bersama rakan seperjuangan yang sudah bersara daripada PDRM sambil mengimbau kenangan lalu.

Walaupun detik itu hanya seketika disebabkan pulang nanti hanya tinggal berdua dengan isteri yang dipanggil nenek dan sudah berusia. Masing-masing mungkin membilang jumlah rakan pesara yang ada kerana sudah ramai pergi meninggalkan mereka dan kehidupan perlu diteruskan seadanya.

Masing-masing ada kisah tersendiri dalam hidup penuh warna-warni. Bercerita kenangan lama yang tak pernah luput dan padam dalam ingatan.

Ada pernah menembak penjenayah, ada pernah mendapat penghargaan berkeping-keping surat penghargaan, tidak kurang juga yang kerja separuh jalan kerana tidak larat sebelum bersara awal.

Dalam pertemuan itu, saya bertanya kepada seorang daripada mereka: "Mana Tuan Ahmad?" Kemudian seorang rakan menjawab: "Dia tidak mahu diganggu dan tidak mahu lagi bercampur dan mengenang kisah kepolisan."

Lelaki itu menyambung: "Dia sangat kecewa dan berhenti awal, katanya bergaduh dengan pegawai atasannya dan lari pencen."

Dalam penulisan kali ini, saya mahu mengajak supaya kita renung sejenak dan mengenang kembali segala jasa dan pengorbanan mereka ini, walaupun pencen bukan satu detik menunggu mati kepada kami dan pesara polis ini.

Kehidupan perlu diteruskan dalam suasana riang dan gembira, tidak kira penamatnya sama ada happy ending atau so sad story.

Banyak sangat jasa mereka yang perlu kita kenang dan hargai. Kehidupan dan zaman mereka bekerja tidak sama dengan zaman teknologi serta canggih masa kini.

Pendapatan mereka pada masa lalu tidak setanding anggota masa kini, namun kecekalan, semangat, komitmen dan disiplin tinggi membuatkan mereka hidup penuh gembira.

Saya yang di hujung kerjaya pun ingin mendapat saranan dan nasihat daripada mereka untuk kekal cergas dan gembira sepanjang hayat sambil berdoa untuk sampai ke garisan penamat dalam perkhidmatan dengan penuh kegembiraan.

Walaupun tidak berlumba dengan gagah, tetapi amat berharap menamatkan perkhidmatan dengan kejuaraan iaitu kegembiraan dan kesihatan. Insya-Allah.

Beberapa cadangan diutarakan ini bagi mengenang jasa dan pengorbanan mereka yang sudah bersara. Sambil sedekahkan al-Fatihah buat mereka yang sudah pergi meninggalkan kita, semoga mereka tergolong dalam kalangan orang beriman dan diredai Allah SWT.

PDRM perlu mengekalkan apa yang dibuat sekarang melalui E-pesara dan Unit Hal Ehwal Awam (HEA) dengan peranan dimainkan untuk membantu mengurus dan mentadbir pesara dengan baik dan sistematik.

Ia bagi memastikan pentadbiran cekap di peringkat daerah dan bertanggungjawab dalam aspek kebajikan serta aktiviti pesara di peringkat daerah masing-masing.

Cuma, perlu tambah baik sistem bagi mengesan mereka yang tercicir daripada mendaftar serta selalu datang menjenguk mereka walaupun hanya seketika. Perlu diingat, pembuat polisi sekarang pun bersara suatu masa nanti dan sudah tentu tidak mahu terpinggir apabila 'tiada kuasa lagi'.

Kebajikan pesara dan keluarga perlu diambil kira terutama apabila yang hanya tinggal berdua suami isteri atau lebih malang, tinggal sendirian. Perlu diadakan majlis seperti jasamu dikenang atau majlis agama dan jemput pesara ini walaupun bukan untuk berhibur. Tidak perlu majlis besar, tetapi hidangan nasi lemak dan teh tarik sudah memadai untuk mengubat kerinduan apabila dapat berkumpul.

Pada masa sama, berikan mereka kemudahan dalam skop PDRM itu, misalnya diskaun kompaun bagi kesalahan jalan raya dan ia cukup membuatkan mereka berasa sangat dihargai.

PDRM perlu sentiasa berkolaborasi dengan persatuan pesara polis. Jemput mereka yang berpengalaman memberi latihan dalam perkhidmatan kepada anggota baharu supaya pengalaman mereka itu dapat diguna pakai anggota masa kini.

Cadangan terakhir, pemerintah atau kerajaan perlu sesekali berusaha memberi elaun terpencil kepada mereka yang banyak berjasa kepada negara. Aman dan tenteram kita hari ini sudah pasti atas usaha dan pengorbanan mereka.

Cadangan diutarakan ini bukan daripada isi hati saya sendiri dan bukan kerana saya sudah hendak pencen. Tetapi, hasil perbualan bersama mereka yang sudah bersara dan meninggalkan jasa dalam PDRM.

Hargai mereka yang sudah berjaya dengan jasa yang tidak terbilang kerana pesara itu bukan hanya peringkat bawahan, tetapi pada tahap Datuk dan pengarah tersohor.

Kerdil rasanya saya apabila mengenangkan mereka yang banyak berjasa untuk negara dan masyarakat. Kepada anggota yang masih berkhidmat, hormati mereka seadanya.

Walaupun mereka bukan lahir atau bertugas pada zaman kalian atau penugasan mereka berbeza dengan zaman kalian, tanpa mereka siapa kalian pada masa sekarang ini?

Tegaknya tiang seri PDRM adalah kerana jasa dan pengorbanan mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap negara. Menitis air mata megenang kembali jasa dan pengorbanan mereka.

Sekalung tahniah kepada pesara PDRM seadanya. Akhir kata, kalam pantun untuk semua pesara PDRM.

Jam berputar berganti masa,

Berundur wira bersara,

Hilang seri hilang cahaya,

Hilang berbutir permata berharga.

Penulis Ketua Polis Balai Nusa Bestari, IPD Iskandar Puteri, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 5:59 AM