EDROS (tengah) menyampaikan bantuan kepada penerima. FOTO ihsan PASKAD
EDROS (tengah) menyampaikan bantuan kepada penerima. FOTO ihsan PASKAD
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Menyedari ada bekas perajurit kurang bernasib baik, Persatuan Khidmat Darat Laut dan Udara (PASKAD) menzahirkan keprihatinan dengan melaksanakan program turun padang membantu mereka yang memerlukan.

Pengasas dan Pengerusinya, Datuk Seri Edros Abdullah berkata, bantuan diberi merangkumi barangan keperluan seperti set bakul makanan, kerusi roda, katil hospital dan alat bantuan pendengaran.

Inisiatif lain ialah menganjurkan pameran dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), jabatan agama serta syarikat swasta.

Di samping itu, program motivasi dan latihan pendedahan kepada pendidikan sivik di sekolah juga di anjurkan oleh PASKAD.

Edros berkata, program dianjurkan bukan hanya bertujuan meringankan bebanan golongan penerima tetapi mengenang jasa serta pengorbanan besar bekas perajurit negara.

"Wujud bekas tentera kurang bernasib baik di luar sana malah yang jadi peminta sedekah pun ada.

"Mungkin bilangan atau kes sebegitu kecil tetapi kita berasa tidak wajar untuk terlepas pandang kerana mereka bekas perajurit dan pernah berjuang mempertahankan negara dalam usaha menjamin keselamatan rakyat.

"Jadi, jangan kerana sudah bersara kita lupakan begitu saja kerana begitu banyak jasa ditaburkan malah mereka sanggup tinggalkan anak isteri dan keluarga untuk bertugas di perbatasan," katanya kepada Harian Metro.

Edros berkata, selain anggota, PASKAD turut memberi tumpuan kepada balu dan anak bekas perajurit terutama yang tergolong dalam kategori B40.

Menerusi inisiatif itu, Edros yakin PASKAD dapat memainkan peranan sebagai mata dan telinga buat kerajaan dalam hal kebajikan bekas anggota serta keluarga mereka.

"Diakui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) banyak sumbangannya tetapi kita juga mahu ambil tanggungjawab untuk membantu.

"Setakat ini, usaha kita dapat sambutan menggalakkan setiap kali turun padang malah tak pernah ada orang menolak tetapi permintaan yang banyak.

"Cuma, persatuan tiada sumber kewangan atau tempat untuk menyimpan barang. Disebabkan itu, kita ada kekangan bagi menerima sumbangan jadi alternatifnya adalah dengan hanya boleh anjurkan program untuk buat agihan terus kepada penerima," katanya.

Di sebalik usaha yang dilakukan, Edros mengakui berdepan cabaran, salah satunya dalam mendapatkan dana untuk menyalurkan sumbangan.

"NGO pada dasarnya tiada sumber kewangan jadi kita mengharap sumbangan orang ramai, suntikan dana kerajaan dan peruntukan daripada syarikat swasta.

"Jumlah diterima tidak menentu dan itu belum lagi kos untuk sukarelawan yang membantu menjayakan program.

"Bagaimanapun, kita usahakan juga malah banyak perancangan sudah diatur sepanjang tahun ini antaranya program bersama tentera dan masyarakat berpisah tiada, infaq Ramadan, sumbangan

Aidilfitri untuk anggota dan pesara serta beberapa siri agihan bakul makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 2:00 PM