FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
minda

Diam tak diam, semester baru sudah beberapa minggu berlalu. Dalam era pandemik ini dan juga zaman Revolusi Industri 4.0, masih ramai lagi anak-anak muda yang mempunyai semangat yang tinggi dan mengorak langkah ke menara gading. Walaupun angka enrolmen menunjukkan penurunan di semua universiti di seluruh dunia namun ia tidaklah terlalu drastik sehingga mengganggu gugat reputasi dan prestasi universiti.

Antara perbualan menarik bagi mahasiswa yang baru mendaftarkan diri pada minggu pertama adalah berkisarkan ranjau dan duri dalam membuat keputusan menjejak kaki ke universiti. Semasa sesi briefing dan suai kenal, pensyarah sedikit sebanyak mengorek rahsia akan keberadaan mereka di institusi yang sudah mereka daftarkan.

Ramai antara mereka masuk dengan kerelaan kerana berjaya menggapai jurusan yang mereka minati dan tak kurang juga ada yang mahu menarik diri kerana kursus itu bukan pilihan mereka sebaliknya adalah paksaan ibu bapa. Tak kurang juga, ramai pelajar yang memberi respons bahawa cakap-cakap orang yang negatif sedikit sebanyak merencatkan nawaitu mereka untuk belajar ke menara gading.

Antara cakap-cakap orang yang negatif jika diekstrak secara terus ialah lambakan graduan yang masih menganggur.

Persepsi ini bermain dengan tanggapan bahawa usai bergraduan dari IPT ia perlu datang bersama pakej kerja sekali. Lebih malang lagi, ada segelintir cakap-cakap orang ini yang memainkan sentimen pengangguran dengan memetik statistik graduan tidak bekerja bagi menyekat minat muda mudi yang ingin melangkah menuntut ilmu ke menara gading.

Jika beginilah yang kita fikirkan dan yang kita canangkan, maka tahap pemikiran kita masih tertinggal jauh di belakang. Zaman anak-anak kita ini adalah zaman Revolusi Industri 4.0. Zaman yang memerlukan kemahiran baru, zaman ledakan teknologi dalam mengganti tenaga manusiawi, zaman transformasi yang memerlukan kemahiran bervariasi. Inilah juga waktunya era pandemik menghentam secara global yang mengakibatkan kehilangan pekerjaan kepada ribuan orang.

Zaman pandemik yang secara tidak langsung memberi nafas baru kepada pekerjaan dengan kemahiran digitalisasi. Ke mana harus anak-anak kita menuju untuk memperoleh ilmu dan melengkapkan diri selaras dengan aliran Revolusi Industri 4.0 dan era pandemik ini? Dalam zaman Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan juga era pandemik ini, menara gading masih kekal relevan sebagai penyaji ilmu berkualiti dan menyediakan manusia yang lebih sivil. Di sinilah tempat mereka yang dahaga untuk mengisi minda mereka dengan input dan informasi berguna.

Menara gading di Malaysia merujuk kepada institusi pengajian tinggi, sama ada awam atau swasta, bersifat ilmu fundamental dan teoritikal. Teras utama pemberi perkhidmatan ini adalah pengajaran dan pembelajaran di samping pelbagai lagi peranan lain seperti yang termaktub di dalam bakul KPI pendidiknya.

Setiap daripada warga IPT amat komited untuk memastikan mahasiswa dan mahasiswi dilengkapi dengan ilmu bahkan mengunjur kepada kemahiran lain yang bersifat fleksibel dan survival supaya mahasiswa lebih yakin, mandiri dan cemerlang di dunia luar selepas tamat belajar. Tidak hairanlah, program dan kursus yang ditawarkan di IPT bukan sewenang-wenangnya direka dan ditambah dengan perasa, sebaliknya direka khusus dalam memastikan matlamat melahirkan graduan yang cemerlang dan terbilang terlaksana.

Institusi pengajian tinggi adalah pemangkin kepada pembangunan dalam menyediakan tenaga berkepakaran dan berkemahiran, justeru di dalam era mencabar ini, program yang ditawarkan sudah diperhalusi dan disesuaikan dengan kehendak perubahan global yang semakin tuntas.

Tanggungjawab dalam mengasuh mahasiswa mengikut orientasi IR4.0 dan juga cabaran semasa pandemik adalah dengan memberikan konteks yang kukuh, pendedahan kepada cabang ilmu dan alat penyelesaian masalah yang boleh memberikan manfaat kepada sosioekonomi serta keseluruhan umat manusia di dalam ruang lingkung dunia.

Lihatlah orang-orang yang menggapai cita-cita hebat di luar sana. Semuanya dipersiapkan dengan angan-angan, wawasan dan sokongan ibu bapa yang tidak berbelah bagi. Bayangkan bila kita tidak menggalakkan anak-anak kita belajar hingga ke menara gading akibat permainan persepsi negatif yang liar. Di manakah mereka? Apakah bahasa yang menjadi bicara? Apakah aktiviti yang dilakukan seharian? Sibukkah mereka di luar mencari pekerjaan?

Bagaimanakah mereka mendepani alam kedewasaan dengan ilmu yang kurang? Apakah pula bahasa perbualan di tempat menuntut ilmu? Siapakah lingkungan teman-teman mereka? Bagaimana kehidupan seharian mereka yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi? Fokus kehidupan lebih kepada perdebatan ilmu, aktiviti universiti, pendedahan program membina diri mahasiswa serta hal kehidupan yang cliché tetapi berpandukan ilmu dan matlamat yang jelas di penghujung.

Kehidupan di menara gading juga berbeza di mana circle of friends atau ruang lingkungan sahabat lebih kepada diskusi secara ilmiah bagi membincangkan tugasan serta ilmu. Ia adalah satu aspirasi yang tinggi jika muda mudi kita ingin melangkah ke menara gading dan kita seharusnya berbangga kerana jalan ini, bakal membuka mata mereka dan melonjakkan diri mereka ke satu peningkatan kesedaran yang lebih baik.

Pengalaman menuntut ilmu di menara gading adalah sesuatu yang tidak ternilai dalam mengajar seseorang menjadi lebih manusiawi dengan pertimbangan bersandarkan ilmu. Betapa beruntungnya mereka yang terbuka dan boleh mengasosiasi perkaitan pembelajaran dengan perubahan pemikiran manusia. Pemikiran yang memberi kesan bagaimana manusia bertingkahlaku dan bertindak ke arah dunia yang lebih mapan. Muda mudi, jangan terkesan dengan cakap-cakap orang. Panjangkan langkahmu ke menara gading supaya engkau bisa menimba sesuatu yang berharga buat masa depanmu.

Penulis Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan di Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 7:01 AM