DR Wan Junaidi
DR Wan Junaidi

SEKTOR perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) umpama telur di hujung tanduk sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini berterusan.

Berdasarkan survei dijalankan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), dianggarkan 580,000 perniagaan, mewakili 49 peratus dari sektor PMKS berisiko menutup perniagaan menjelang Oktober depan sekiranya mereka masih tidak dibenarkan beroperasi.

Penutupan perniagaan itu secara tidak langsung membawa makna lebih tujuh juta rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan.

Malah, jika diambil kira setiap pekerja mempunyai dua tanggungan, maka kehilangan pekerjaan seorang individu mengakibatkan 14 juta orang lagi turut menerima kesan langsung.

Menteri Medac, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini adalah kebenaran yang pahit untuk ditelan namun perlu disuarakan bagi membayangkan keadaan sebenar dihadapi usahawan PMKS.

"Kegagalan untuk menyelesaikan masalah ini akan memberi kesan kepada sosio ekonomi negara.

"Jika kita tidak lakukan sesuatu untuk membantu mereka, saya bimbang kebanyakan PMKS ini tidak boleh bangkit semula walaupun selepas ekonomi dibuka nanti.

"Saya juga bimbang sekiranya kegagalan PMKS ini meneruskan operasi akan memberi kesan domino kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada 15 hingga 28 Jun lalu, Medac menjalankan survei bagi mengenal pasti kesan PKP 3.0 terhadap usahawan di Malaysia.

Seramai 6,664 responden mengambil bahagian.

Ia mendapati kebanyakan perniagaan berdepan sindrom 'keletihan perniagaan' dan keyakinan turut merudum akibat sekatan pergerakan.

Hampir satu pertiga responden mengakui tidak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan.

Wan Junaidi berkata, hasil survei turut mendapati isu kesihatan mental di kalangan usahawan turut menjadi kebimbangan di mana hampir 60 peratus responden mengalami sekurang-kurangnya satu masalah mental ketika PKP.

Tiga faktor utama yang menjejaskan kesihatan mental usahawan adalah kehilangan pendapatan, hutang dan isu kewangan selain risiko penutupan perniagaan.

"Kebanyakan usahawan ini bimbang mengenai masa depan mereka sehingga menyebabkan tekanan perasaan.

"Lebih 90 peratus daripada mereka tidak mempunyai perlindungan insurans dan 70 peratus lagi tiada perlindungan tambahan sekiranya kehilangan pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 6:58 AM